Cawangan A&W Seremban kini diberikan nafas baharu dengan wajah retro yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan A&W dan Jamaica Blue.
Dalam meraikan pelancaran A&W Seremban yang diberikan nafas baharu, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Harun telah hadir meraikan cawangan yang merupakan salah satu lambang ikonik Seremban sejak 1978. Pandu lalu A&W Seremban kini diberikan nafas baharu dengan wajah retro yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan A&W dan Jamaica Blue.
Pembukaan pandu lalu A&W Seremban ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada kewujudan A&W yang sudah lama bertapak di Malaysia, sekali gus memberikan pengalaman yang unik dan baharu. Ia kini diberikan konsep bertemakan retro yang menampilkan reka bentuk retro yang bergaya moden.
Cawangan yang berlatarkan keindahan Tasik Seremban juga direka khas untuk menarik minat generasi muda. Pada masa yang sama mereka tetap berpegang kepada legasi dan warisan jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia sejak 1963 lagi, menjadikannya restoran makanan segera yang pertama beroperasi di Malaysia.
Dalam menarik minat generasi muda dan juga peminat budaya kopi popular, A&W turut menggabungkan jenama kopi terkenal dunia, Jamaica Blue. Menceduk inspirasi daripada Gunung Jamaica Blue yang merupakan salah satu daerah pengeluaran kopi terbaik di dunia, pengunjung juga akan dihidangkan dengan pelbagai seleksi kopi Jamaica Blue yang akan disediakan oleh barista berpengalaman.
Sejak pembukaan restoran pertama pada 1963, francais restoran makanan segera ini terus menjadi kegemaran ramai dengan pilihan menu klasik termasuklah Coney, waffle serta minuman RB float yang ikonik. Pembukaan pandu lalu A&W Seremban ini juga sebahagian daripada perancangan besar untuk membuka 150 cawangan baharu di seluruh Malaysia menjelang 2025.
Foto: A&W Malaysia
Baca lebih lanjut: An Imagined Journey: Kolaborasi Minum Petang Tory Burch Dan TWG Tea