Dari Lady Dior hingga yang terkini, Small Dior Vibe Zip Bowling Bag, beg ikonik Dior membuat penampilan lebaran anda lebih stylish!
Saya fikir Hari raya adalah detik terbaik untuk sesiapa tampil ekstra dalam penataan gaya. Hari Raya adalah hari yang semua orang tidak akan ada perasaan yang mereka berlebih-lebih andainya mereka bergaya. Tiada istilah overdressed kerana lebaran itu sendiri memang satu hari yang cukup istimewa, hari yang memang patut diraikan.
Selain soal pakaian, aksesori juga dilihat sebagai elemen penting yang membuatkan penampilan lebih sempurna. Kasut dan beg antara yang sering diberi perhatian. Ada orang yang mahukan sesuatu yang sedondon warnanya, ada pula sukakan sesuatu yang lebih kontra dengan warna helaiannya. Tidak kiralah apa jua gaya pilihan, saya sarankan anda memilih aksesori yang bersifat timeless gayanya, lebih-lebih lagi jika anda mahu melaburkan sedikit wang dalam pembelian.
Dior antara label kesukaan ramai yang menawarkan himpunan beg klasik. Rekaan Dior lazimnya feminin. Biarpun malar segar namun ada sesuatu yang membuatkan rekaan tas tangan Dior nampak chic. Pemilihan material berserta perinciannya yang membuatkan beg tangan Dior terus bernafas di era digital walaupun sebahagian beg ikoniknya sudah berdekad usia rekaannya.
EH! mengundang model masa kini, Nia Atasha untuk mempelbagaikan gaya tas tangan Dior dan dipadankan dengan helaian klasik yang cukup minimalis. Biarpun sekadar berpakaian sedondon putih, penampilannya nampak segar dengan penggayaan skarf, sepatu statement dan tas-tas tangan Dior.
Dari Lady Dior yang klasik hingga yang terkini Lady D-Joy Bag yang lebih chic, tas tangan Dior adalah pelaburan gaya yang timeless. Micro Lady Dior Bag pula pilihan paling stylish, seiring arus trend semasa yang mana beg mikro cukup dijulang popularitinya.