Dalam satu-satu organisasi ia akan ‘dihuni’ dengan bermacam-macam fiil manusia. Tiada pekerja yang sempurna, ada kelebihan adalah juga kekurangannya. Tapi jika tidak boleh jadi pekerja yang cemerlang, usahlah kita jadi yang menjengkelkan. Cuba perhatikan di sekeliling, ada tak mana-mana rakan sekerja yang punya salah satu perangai yang disenaraikan ini.
1. Tidak Tepati Masa
Memang menjengkelkan bila bekerja dengan orang yang tidak tahu menghormati masa orang lain. Mesyuarat jadi lambat dan makan masa kerana dia tiba lewat. Jika sekali dua boleh diterima alasannya tetapi jika berlaku berulang-ulang itu bukan kebetulan tapi tabiat.
2. Banyak Alasan
Ini antara yang sering kita temui, rakan sekerja yang ada 1001 alasan untuk apa sahaja situasi. Jika lambat, ada alasan tertentu, jika kerjanya tidak siap, dia akan beri alasan berpusing-pusing untuk menutup kesalahannya, bila mahu diberi kerja tambahan, sebaik mungkin dia akan memberi alasan untuk menolak.
3. Pandai Cakap
Dalam perbincangan dia akan main cakap sahaja, bila diminta idea dia akan kongsi tetapi tiap idea tidak difiikir boleh atau tidak dilaksanakan. Ini antara yang paling menjengkelkan kerana alasannya supaya ideanya nampak bombastik di depan ketua walhal kelak nanti yang melaksanakannya orang lain. Dia hanya mahu nama kerana kononnya idea datang dari dia.
4. Pura-Pura Sibuk
Akan ada rakan sekerja yang kerjanya tidak banyak tapi dia sering pukul canang ‘to-do-list’ berulang-ulang, dan untuk menampakkan senarainya panjang, hal remeh sekecil-kecil photocopy pun dia akan sebut. Ada juga yang jenis cilik, dia akan minta orang lain buatkan, dan dia hanya perlu kumpulkan sahaja semua kerja ‘orang suruhannhya’, dan dia akan persembahkan pada ketua. Secara tidak langsung, orang akan fikir dia memang banyak kerja.
5. Konservatif
Apa yang dimaksudkan dengan konservatif di sini ialah rakan sekerja yang mahu duduk di zon selesa. Sudah terbiasa dengan rutin atau proses kerja biasa, mereka tidak mahu terima idea-idea baru. Mereka selesa dengan cara lama yang akhirnya membuatkan prestasi kerja mendatar.
“Boleh tak you tolong buatkan, sebab kerja you memang teliti…”
6. Kaki Manipulasi
Orang sebegini suka bermain dengan situasi dan emosi. Dia akan menggunakan kata-kata manis untuk menjerat anda. Kiranya dia pandai ‘PR’. Selalunya dia akan cakap begini, “I love your works, dan ramai orang puji hasil kerja you. Boleh tak you tolong buatkan, sebab kerja you memang teliti…”. Pernah tak anda melalui situasi ini? Jika pernah, itulah rakan sekerja yang suka memanipulasi.
7. Asal Siap
Ini pula sejenis manusia yang tiada inisiatif untuk upgrade kebolehan diri mahupun hasil kerja. Prinsipnya hanya mahu siapkan kerja, asalkan buat. Sama ada hasilnya bagus atau tidak, belakang kira, yang penting dah buat. Mereka tiada usaha untuk berbuat lebih, mereka tidak akan ada follow up.
Tiap masa ada sahaja dia nak bercerita sampaikan kita pun terfikir, “dia ni tak ada kerja ke”.
8. Kuat Borak
Memang ada rakan sekerja yang memang ringan mulut, yang akan membuat suasana bekerja lebih meriah dan tidak tertekan. Tetapi jika sudah terlebih borak pun akan masalahnya kerana ia mungkin menganggu masa untuk kita menyiapkan kerja. Orang sebegini kita panggil ‘time stealer’. Tiap masa ada sahaja dia nak bercerita sampaikan kita pun terfikir, “dia ni tak ada kerja ke”.
9. Terlalu Banyak Berkongsi
Maksud saya ialah orang yang terlalu banyak berkongsi hal peribadi. Ada raan sekerja yang suka bercerita hal yang tak sepatutnya dikongsi, lainlah jika benar-benar rapat. Takkanlah cerita dalam kain hendak dicerita satu pejabat. Sesetengah orang tak berasa selesa hendak tahu hal-hal peribadi rakan sekerja. Ada orang memang meletakkan jurang, rakan sekerja tak sama dengan rakan lain di luar. Rapat di pejabat tak semestinya BFF.
10. Malas Berfikir
Amat menjengkelkan jika kita bekerja dengan orang yang malas, usahkan nak buat kerja ekstra untuk berfikir pun mereka tidak mahu. Bila ada perbincangan, hendak kongsi idea pun mereka tiada usaha. Sebabnya? Malas nak fikir. Jika berkongsi idea sekalipun, tak boleh pakai kerana sekadar cakap, bicara tak guna common sense.