Menjawab perdebatan ramai, jenama mewah Celine mengesahkan V BTS sebagai duta global mereka yang baharu.
Sebelum ini sering dilihat menggayakan koleksi jenama tersebut, V atau nama sebenarnya Kim Tae Hyung, rupanya adalah sebahagian daripada keluarga jenama mewah CELINE. Secara rasminya, vokalis kumpulan global K-Pop BTS ini, mengikut jejak langkah ahlinya yang lain dalam mendominasi pasaran feysen masa kini.
Dalam perkongsian media Korea Selatan, V telah menjalankan aktiviti rasmi pertamanya sebagai ‘CELINE Boy’, khamis lalu.
Penyanyi versatil ini dilihat hadir ke Celine Pop-Up Store yang bertempat di Seoul, Korea. V mempamerkan gaya fesyennya yang menarik perhatian ramai, dengan memperagakan koleksi Musim Panas 2023 CELINE Homme.
Dia tampil dengan gaya serba hitam, memadankan kot panjang dengan seluar jeans denim dari jenama tersebut. Turut memilih kasut boot paras buku lali, dan beg tangan hitam ROMY dari CELINE, melengkapkan lagi gayanya hari itu.
Menambah rasa, V juga memperagakan rantai berkembar berwarna silver sebagai aksesorinya. Gaya keseluruhan penyanyi ini mendapat perhatian media, dan menjadi trending di laman media sosial. Ini menandakan penampilan pertamanya sebagai duta global CELINE, bersama-sama Lisa Blackpink dan juga Park Bo Gum.
Walaupun V telah menjadi sebahagian dalam aktiviti promosi jenama CELINE, malah turut dilihat hadir ke minggu fesyen mereka, namun tidak ada sebarang nota rasmi tentang kolaborasi tersebut.
Sebagai respons, pasukan perkhidmatan pelanggan jenama tersebut, akhirnya memberikan kenyatan rasmi melalui satu penghantaran emel ringkas kepada peminat. Dalam perkongsian emel itu, mereka mengesahkan dan mengalu-alukan kehadiran V, sebagai sebahagian daripada keluarga CELINE.
Pengarah kreatif jenama fesyen CELINE, Hedi Slimane telah menggunakan istilah ‘CELINE Boy’ dan ‘CELINE Girl’, yang merujuk kepada duta jenama mereka. Panggilan ini direka khas untuk menggambarkan istilah berbentuk keluarga, memaparkan perhubungan yang lebih erat.
Pastinya, ini merupakan satu berita gembira terutamanya kepada ARMY! Dalam masa seminggu sahaja, ia melengkapkan enam daripada tujuh ahli kumpulan global K-Pop ini, sebagai satu fenomena duta pasaran jenama mewah fesyen.
Terdahulu, seorang daripada ahli kumpulan BTS, iaitu Jin, telah menjalankan tanggungjawab rasminya di perkhidmatan tentera, Korea Selatan.
Artikel Berkaitan: Giliran RM BTS Dilamar Bottega Veneta