Ronan Keating bukanlah satu nama asing buat peminat muzik akhir 90-an dan awal 2000-an.
Sudah beberapa kali mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi pop dari Ireland itu bakal kembali untuk menghiburkan peminat hanya untuk satu malam pada bulan Ogos 2023. Kali terakhir Ronan Keating membuat persembahan di negara ini adalah pada awal tahun 2020, sebelum pandemik Covid melanda dunia.
Dianjurkan oleh MIC Entertainment Group, Ronan Keating Concert Live In Malaysia 2023 bakal berlangsung pada 19 Ogos, Sabtu, pukul 8.30pm. Lokasinya tidak lain tidak bukan, di Arena of Stars, Resorts World Genting. Tiket dijual pada harga RM158 (PS4), RM238 (PS5), RM388 (PS2), RM588 (PS1) dan RM638 (VIP), tertakluk pada bayaran pemprosesan RM4. Ia boleh dibeli bermula 30 Mei ini pada pukul 12 tengah hari menerusi Resorts World Genting atau BookMyShow.
Penonton yang hadir bakal dihiburkan dengan barisan lagu popular yang masih menjadi siulan peminat sehingga kini. Ronan Keating gemar menyajikan peminat dengan lagu-lagu nostalgia antaranya If Tomorrow Never Comes, Time After Time, Life Is A Rollercoaster dan This I Promise You.