Penceramah motivasi dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina membuat kejutan apabila mengumumkan telah pun bernikah buat kali kedua.
Mizz Nina berkongsi khabar gembira itu di Instagram berserta foto dirinya dan suami, Essam Muhammad dalam persalinan serba putih. Majlis perkahwinannya diadakan secara tertutup di luar negara dan hanya dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat rapat. Bekas penyanyi dan penulis lirik itu turut memanjatkan kesyukuran dengan perkahwinan keduanya dan menganggap ia takdir terindah yang ditentukan oleh Allah.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas rahmat indah ini. Saya ingin berkongsi kepada anda semua bahawa saya telah bergelar isteri baru-baru ini kepada suami tersayang, Essam Muhammad dalam satu majlis tertutup bersama keluarga dan rakan terdekat.
“Allah sebaik-baik perancang dan telah menulis bab kehidupan kami ini dengan begitu indah. Dengan restu ibu bapa, kami telah melengkapi separuh lagi agama satu sama lain. Kami mendedikasikan hidup kepada dakwah, berkongsi matlamat serta aspirasi yang sama, dan teruja menempuh fasa baru kehidupan ini,” tulisnya.