Setiap orang melalui perjalanan cinta yang unik dan berbeza daripada orang lain. Begitu juga pasangan Diraja yang mempunyai kisah mereka sendiri untuk diceritakan.
Daripada cinta pandang pertama Putera Monaco terhadap Grace Kelly sehinggalah ‘cinta monyet’ Putera William dan Kate Middleton, kebanyakan pasangan Diraja dari seluruh dunia melalui kisah cinta penuh romantis. Malah ada juga yang bagaikan kisah dongeng.
EH! kongsikan 10 pasangan Diraja terkenal dan kisah pertemuan pertama mereka
1. Putera Rainier III dari Monaco & Grace Kelly
Apabila bercakap tentang perkahwinan pelakon Amerika Syarikat dengan kerabat Diraja, pasangan ini adalah contoh paling klasik dan terkenal. Putera Rainier III jatuh cinta pandang pertama setelah bertemu Grace Kelly di Festival Filem Cannes pada Mei 1955.
Putera Monaco melamar tujuh bulan kemudian dan mereka melangsungkan perkahwinan pada April 1956. Selepas bergelar isteri, Grace Kelly berundur dari bidang lakonan dan terus berkhidmat sebagai kerabat Diraja sehinggalah kematian tragisnya pada 1982.
2. Raja Edward VIII & Wallis Simpson
Salah satu kisah percintaan Diraja paling diingati dalam sejarah adalah antara Raja Edward VIII dan Wallis Simpson, seorang janda dari kalangan rakyat biasa. Ikatan cinta yang terjalin antara mereka begitu utuh sehingga mengubah seluruh pewarisan monarki Britain.
Wallis merupakan rakan kepada gundek Raja Edward VIII. Pasangan itu bertemu buat kali pertama setelah gundeknya meminta bantuan Wallis untuk ‘melayan’ Raja Edward VIII pada hujung minggu. Lama kelamaan pertemuan tidak dirancang itu menjadi rutin sekali gus mencambah rasa cinta di hati masing-masing.
Malah Raja Edward VIII sanggup turun takhta sebagai Raja pada 1936 demi untuk berkahwin dengan wanita pilihan hatinya. Dia diturunkan pangkat ke gelaran Duke of Windsor dan hidup dalam buangan sepanjang hayat.
3. Ratu Elizabeth II & Putera Philip
Ratu Elizabeth II bertemu Putera Philip yang juga sepupu rapatnya pada 1934 ketika berusia lapan tahun. Pada 9 Julai 1947, Ratu Elizabeth yang berusia 21 tahun disatukan dengan suaminya, 26.
Mereka hidup bersama selama 74 tahun sebelum Duke of Edinburgh mangkat pada 9 April 2021. Ratu Elizabeth mengikut jejak langkah suaminya setahun kemudian.
4. Raja Charles III & Puteri Diana
Walaupun kisah cinta pasangan Diraja ini mempunyai banyak suka duka, detik-detik awal percintaan mereka tidak dapat diramal. Ketika Raja Charles bertemu Puteri Diana buat kali pertama, dia sebenarnya sedang menjalin hubungan cinta dengan kakaknya, Sarah Spencer.
Dua tahun selepas itu, mereka bertemu sekali lagi di sebuah parti dan bertunang enam bulan kemudian, diikuti dengan majlis perkahwinan gilang-gemilang pada 1981. Malangnya rumah tangga mereka hancur disebabkan orang ketiga, Permaisuri Camila dan pasangan itu bercerai pada 1992.
5. Raja Abdullah II dari Jordan & Permaisuri Rania
Salah satu pasangan Diraja yang menjadi pujaan, Raja Abdullah bin Al-Hussein dan Permaisuri Rania berkenalan di majlis makan malam anjuran kakak Raja Abdullah. Ketika itu Permaisuri Rania bekerja untuk syarikat Apple di Amman, ibu kota Jordan.
Dua bulan selepas pertemuan pertama, mereka mengikat tali pertunangan pada 1993 dan berkahwin dalam tahun yang sama.
6. Raja Felipe VI dari Sepanyol & Permaisuri Letizia
Mereka digelar sebagai salah satu pasangan paling sepadan dalam sejarah perkahwinan Diraja. Sebelum berkahwin dengan Raja Felipe V, Permaisuri Letizia merupakan seorang wartawan yang berjaya.
Sewaktu membuat laporan media mengenai tumpahan minyak di pantai Galicia, dia bertemu Raja Felipe V yang ketika itu sedang melawat lokasi kejadian untuk memberi sokongan kepada mangsa. Di situlah mereka bertemu buat kali pertama.
Pasangan Diraja itu melangsungkan perkahwinan pada 2004. Permaisuri Letizia mencatat sejarah sebagai permaisuri Sepanyol pertama dari kalangan rakyat biasa.
7. Putera Albert II dari Monaco & Puteri Charlene
Charlene Wittstock, bekas perenang Olimpik bertemu Putera Albert II di sebuah pertandingan yang berlangsung di Monaco pada 2000. Mereka menjalin cinta selama beberapa tahun dan membuat penampilan pertama sebagai kekasih pada 2006 di Sukan Olimpik Torino.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan sepasang cahaya mata kembar. Pewaris takhta, Putera Jacques dan Puteri Gabriella kini berusia sembilan tahun.
8. Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dari Bhutan & Permaisuri Jetsun Pema
Pasangan Diraja Bhutan mempunyai kisah cinta unik yang amat menarik untuk diceritakan. Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck bertemu Permaisuri Jetsun Pema buat kali pertama ketika berusia 17 tahun, sewaktu keluarga mereka berpiknik bersama.
Dia memberitahu Permaisuri jika mereka masih tidak mempunyai pasangan setelah dewasa, dia akan mengahwininya. Siapa sangka kisah dongeng itu menjadi kenyataan dan kini pasangan Diraja itu memiliki dua cahaya mata.
9. Putera William & Puteri Kate Middleton
Putera dan Puteri Wales baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan ke-12. Mereka bertemu ketika bergelar pelajar di Universiti St. Andrew dan bercinta selama beberapa tahun sebelum berpisah pada 2007.
Bagaimanapun jodoh mereka masih panjang. Pada Oktober 2010, pasangan itu mengumumkan pertunangan dan berkahwin setahun kemudian.
10. Putera Harry & Meghan Markle
Berita percintaan Duke dan Duchess of Sussex mengejutkan orang ramai terutama warga United Kingdom. Pasangan itu bertentang mata buat kali pertama pada Julai 2016 di London.
Pertemuan pertama mereka diatur oleh rakan zaman kanak-kanak Putera Harry yang juga sahabat Meghan Markle, Violet von Westenholz. Ini adalah permintaan Duke of Sussex sendiri selepas melihat Violet memuat naik fotonya bersama Meghan di Instagram.
Mereka bertunang pada November 2017, mendirikan rumah tangga selepas setahun dan kini dikurniakan dua cahaya mata.