Ikuti pengambaraan Pengarang Digital EH!, Farah Ain menjelajahi tempat menarik di Busan, Korea Selatan, sebuah negara yang kaya dengan seni warisan budaya dan keindahan alam semula jadi yang memukau, menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Terletak di pesisiran tenggara Korea Selatan, Busan merupakan salah satu destinasi yang penuh bersejarah dan dkenali sebagai kota pelabuhan terbesar kedua setelah Seoul. Ini merupakan lawatan pertama saya ke Korea Selatan dan sungguh teruja tatkala bakal mengunjungi Busan, destinasi kaya dengan alam semula jadi dan budaya yang memikat pasti menawarkan pengalaman yang unik kepada pengunjung.
Dengan populasi lebih dari 3,5 juta penduduk, Busan memiliki keunikan tersendiri dalam panorama urban keindahan alamnya, termasuk pegunungan, pantai dan pulau-pulau kecil yang menawarkan pemandangan luar biasa. Bukan sahaja terpesona dengan permandangan yang sama seperti dalam K-Drama, apa yang membuatkan saya tergamam lagi adalah keramahan penduduknya yang sentiasa bertanyakan khabar dan dari mana saya berasal.
Ya, selain permandangan yang indah dan sejarah yang menarik, keunikan Busan juga terletak pada masyarakatnya yang mesra dan bersopan santun. Penduduk tempatan yang ramah, amat senang hati berkongsi cerita dan tradisi mereka dengan pelawat, mencipta pengalaman perjalanan yang unik dan bermakna.
Bagi anda yang inginkan pengalaman yang menyeronokkan seperti dalam K-Drama dan ingin menyelami kekayaan budaya yang unik, Busan adalah destinasi yang patut dikunjungi sekali seumur hidup. Ini lima tempat menarik di Busan yang wajib anda kunjungi:
1. Gamcheon Culture Village
Bagi peminat sejarah, Gamcheon Culture Village adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Kampung ini dikenali sebagai “Machu Picchu Korea“, kerana ia memiliki rumah-rumah yang berwarna-warni dan memiliki seni jalanan yang menarik. Antara tempat yang indah untuk mengambil gambar dan merasai kebudayaan tempatan, kampung ini dibina di lereng bukit, memberikan pemandangan yang menakjubkan. Selain mengeksplorasi seni jalanan yang unik, pengunjung juga dapat melawat galeri seni tempatan dan memahami lebih mendalam tentang sejarah dan kehidupan masyarakat setempat.
2. Haedong Yonggungsa Temple, Busan
Haedong Yonggungsa Temple, adalah kuil unik dengan keindahan laut dihadapan dan pergunungan di belakang yang dibangunkan di tebing pantai. Menawarkan pemandangan laut yang memukau, arkitek landskap berkonsepkan kuil tradisional Korea dan nuansa spiritual ini menciptakan atmosfera damai dengan elemen agama patung Buddha di tengah-tengah laut menambah keagungan tempat ini.
3. Haeundae Beach
Destinasi utama di Busan yang terkenal dengan pasir putihnya yang halus dan air laut yang biru jernih ini menjadi tumpuan utama setiap musim panas, antara tempat menarik pengunjung dengan suasana yang santai dan pemandangan yang menakjubkan. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati di sini, termasuk bersantai di tepi pantai, surfing, atau hanya menikmati matahari terbenam yang menakjubkan.
4. Busan Sky Capsule
Terletak di puncak Gunung Hwangnyeongsan, kapsul ini menyajikan pemandangan yang menakjubkan di tengah Bandar Busan. Pengunjung dapat menikmati ketenangan udara pegunungan dan panorama bandar yang gemerlapan di bawah. Kapsul bercirikan futuristik ini memberikan peluang untuk merenung dan melarikan diri dari hiruk-pikuk kehidupan harian. Dengan reka bentuk moden dan kemudahan yang menyeluruh, Busan Sky Capsule merupakan destinasi pilihan bagi mereka yang mencari ketenangan dan pemandangan menakjubkan.
5. Songdo Bay Station
Songdo Bay Station, terletak di Busan, menawarkan pengalaman yang menakjubkan dengan keindahan alamnya. Stesen ini menjadi pintu gerbang kepada keunikan pantai-pantai berpasir putih dan laut yang tenang dibawahnya. Pengunjung dapat menikmati keindahan matahari terbenam yang memukau, serta menghirupi udara yang segar.