Baru beberapa hari lalu bintang Parasite, Lee Sun Kyun didakwa terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah. Kini giliran G-Dragon pula menerima pertuduhan sama.
Bagaimanapun berbeza dengan Lee Sun Kyun yang diletakkan dalam tahanan polis, tiada penahanan dibuat terhadap ketua kumpulan BigBang itu. G-Dragon dilaporkan dipanggil ke Balai Polis Incheon untuk siasatan selepas beberapa bukti terarah kepadanya. Bagaimanapun dia dilepaskan tidak lama kemudian.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, mereka tidak akan mendedahkan butiran khusus kepada media memandangkan siasatan masih dijalankan. Dalam masa sama mereka enggan mengulas sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes dadah Lee Sun Kyun.
Selain dua aktor ini, pihak polis dilaporkan sedang cuba mengenal pasti enam suspek lain termasuk seorang pekerja seni hiburan, komposer dan penyanyi.
Agensi pengurusan Big Bang, YG Entertainment juga enggan memberi respons kerana penyanyi itu bukan lagi di bawah tanggungjawab mereka.
“Sukar untuk memberi maklum balas secara rasmi kerana dia bukan lagi artis naungan kami. Kontraknya tamat pada 6 Jun lalu.”
Bukan Pengalaman Pertama G-Dragon
G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji Yong pernah berdepan tuduhan sama pada 2011. Dia ditangkap ketika sedang menghisap ganja di luar sebuah kelab malam di Jepun.
Bagaimanapun katanya ia berlaku secara tidak sengaja kerana rokok yang dihisapnya adalah pemberian peminat dan dia tidak tahu ia mengandungi ganja.
Bercakap kepada hos rancangan SBS Healing Camp setahun kemudian, penyanyi berusia 35 tahun itu berkata dia memberi kerjasama ketika diminta melakukan ujian air kencing dan rambut kerana yakin dirinya tidak bersalah.
“Bagaimanapun hasil ujian yang diperolehi positif. Saya amat malu. Saya rasa tidak adil kerana saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.” Disebabkan kurangnya bukti atas tuduhan itu, kes tersebut akhirnya digugurkan.
Baca: Kerana Kantoi Dadah, T.O.P BIGBANG Merana Dalam Khidmat Tentera