Franco Fasoli artis dari Argentina melunaskan satu koleksi lukisan yang berinspirasikan suasana Kuala Lumpur menerusi pengalaman kembara kali pertamanya ke Asia.
Dinamakan sebagai ‘Culture Shock’, pameran yang ‘berlegar’ berhampiran pintu masuk hotel paling chic masa kini, Else Kuala Lumpur ini menghimpunkan karya Franco Fasoli, artis kelahiran Bueno Aires, Argentina.
Pengalaman saya sendiri melihat himpunan lukisan Fasoli, identiti karyanya sangat bersahaja, dan dia suka bermain dengan warna-warna menjerit. Karyanya penuh warna dan tidak bosan. Lagi satu yang menarik, lakaran Fasoli adalah berinspirasikan dari kunjungan pertamanya ke Asia, dan Kuala Lumpur sendiri menjadi pilihan.
Jadi anda dapat lihat suasana kedai kopitiam sekitar dan kedai-kedai lain di sekitar Jalan Petaling. Fasoli menyiapkan kesemua lukisan yang dipamerkan di sini di Else Kuala Lumpur sendiri.
Tidak terhad pada suasana di Kuala Lumpur, Fasoli juga ada mempamerkan beberapa lukisan yang diinspirasikan dari tanah kelahirannya sendiri. Fasoli awalnya mendapat pendidikan di School of Ceramics dan dia sangat gemar menjadikan kehidupan sosial Amerika Latin sebagai inspirasi karyanya. Dia menjadikan kepercayaan, politik dan kehidupan harian sebagai inspirasinya berkarya.
Antara kejayaan manis yang pernah dikecapi Fasoli ialah tempat kedua di Itau Award pada tahun 2017 selain Mention in Painting at the National Salon (2021). “Culture Shock’ by Franco Fasoli akan terus menghiasi dinding Else Kuala Lumpur sehingga 30 November ini.
BACA: 5 Studio Pilates Terbaik Untuk Dikunjungi Di Sekitar Kuala Lumpur