Salah satu kelebihan tinggal di Malaysia adalah kita diberi peluang untuk menikmati pelbagai variasi hidangan daripada pelbagai kaum, yang telah disesuaikan dengan citarasa rakyat Malaysia. Setiap hidangan bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga membawa kita merasai keunikan setiap budaya yang ada di sini.
Mee tarik, adalah sejenis hidangan tradisional Cina yang kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Tekstur mee yang kenyal, ditarik segar setiap hari, digabungkan dengan sup lazat menjadikan ia pilihan yang menggamit selera. Hidangan ini semakin popular di kalangan pencinta makanan halal, terutamanya mereka yang ingin menikmati sentuhan unik masakan Cina Muslim. Untuk anda yang ingin mencuba sendiri kelazaran mee tarik, EH! telah senaraikan lima restoran mi tarik Cina Muslim yang anda boleh cuba di sekitar lembah klang.
1. Salam Noodle
Jika anda mencari mi tarik yang sedap dan berbaloi, Salam Noodle adalah destinasi yang wajib anda kunjungi. Memiliki kurang lebih 10 cawangan, restoran ini sering menjadi pilihan bagi mereka terutama di kalangan pelajar yang ingin menjamu selera tanpa membebankan bajet. Menu di Salam Noodle menampilkan pelbagai pilihan mi tarik dengan kuah sup yang kaya dengan rasa, sesuai dinikmati pada bila-bila masa. Restoran ini terkenal dengan suasana santai dan layanan pantas, menjadikannya pilihan ideal untuk makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga.
2. Lanzhou Mee Tarik Muslim
Untuk penggemar mi tarik asli yang mahukan rasa tradisional dengan harga yang berpatutan, Lanzhou Mee Tarik adalah pilihan yang wajib dicuba. Dengan empat cawangan di sekitar Klang Valley, restoran ini sering menjadi tumpuan bagi mereka yang mencari hidangan mee tarik halal yang autentik. Anda boleh mencuba pelbagai variasi mi mereka dari mee klasik hingga mee kering dengan sos pedas.
3. Mee Hiris Cina Muslim
Bagi anda yang mengutamakan suasana makan yang lebih eksklusif, Mee Hiris Cina Muslim adalah destinasi yang sempurna. Restoran ini sering ditemui di pusat membeli-belah seperti Pavilion Kuala Lumpur, Mytown Cheras, dan Aeon Mall, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang ingin menikmati hidangan dalam suasana yang selesa dan moden. Disajikan dalam mangkuk besar yang pasti menggamit selera. Setiap hidangan di sini direka untuk memberikan pengalaman makan yang memuaskan, menjadikannya tempat yang sesuai untuk makan tengah hari eksklusif atau makan malam istimewa bersama orang tersayang.
4. Mee Tarik Jalan Sultan
Restoran ini merupakan restoran mee tarik yang paling popular, terletak di Jalan Sultan, Kuala Lumpur, dan kini telah membuka cawangan tambahan di Ampang dan Subang Jaya. Apa yang menjadikan Mee Tarik Janlan Sultan begitu istimewa adalah gabungan rasa asli dari mi tarik segar yang dihasilkan setiap hari. Mi yang kenyal, ditambah dengan kuah sup yang kaya dan hirisan daging lembu yang lembut, memberikan pengalaman makan yang memikat selera menjadikan restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan setia. Anda juga boleh melihat aksi tukang masak menarik mi secara langsung, satu pengalaman unik yang menambah daya tarikan restoran ini.
5. Mee Tarik Faizal Kong
Jika anda mencari mi tarik yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan, Mee Tarik Faizal Kong adalah destinasi yang perlu anda cuba. Restoran ini terkenal dengan keunikan mi tariknya yang menampilkan gabungan rempah tradisional Cina dan sentuhan rasa tempatan yang lebih mesra di lidah rakyat Malaysia. Mee Tarik Faizal Kong menjadi pilihan ramai, terutamanya keluarga, kerana lokasinya yang strategik di pasar raya besar, memudahkan anda untuk menikmati hidangan selepas membeli-belah. Dengan harga yang sangat berpatutan, bermula dari hanya RM8 semangkuk.
Artikel Berkaitan: 7 Restoran Korea Buat Peminat K-Drama