Pentas fesyen sentiasa menjadi tumpuan global, bukan sahaja kerana fesyen semata, tetapi juga sebagai medan lahirnya trend kecantikan yang bakal mencorakkan musim akan datang.
Minggu fesyen kini sedang berlangsung, dan tiba giliran London menjadi tumpuan! Seperti yang kita ketahui, setiap musim, pentas peragaan bukan hanya menampilkan helaian avant-garde, malah menjadi platform untuk solekan eksperimental yang mencetuskan inspirasi baharu.
Musim ini, barisan model tampil dengan solekan yang berani dan artistik, menonjolkan kreativiti serta keunikan dalam dunia kecantikan. Dari sentuhan warna-warna dramatik hingga teknik aplikasi yang futuristik, setiap gaya membawa naratif tersendiri. EH! telah mengamati lima trend kecantikan yang paling mencuri perhatian, dan kami yakin ia bakal menjadi kegilaan sepanjang tahun ini!
Kening Nipis
Bagi penggemar jenama Simone Rocha, elemen feminin seperti reben sudah menjadi tanda tangan jenama ini. Dalam koleksi A/W 2025, Simone Rocha menghidupkan semula gaya kening nipis era 90-an tetapi dengan kelainan tersendiri iaitu dihiasi manik berwarna merah, hitam, dan merah jambu. Jurusolek Thomas de Kluyver berkongsi bahawa solekan kali ini diilhamkan daripada kisah dongeng The Tortoise and the Hare, dengan sentuhan playful yang menyerlahkan estetika remaja.
Doll Blush
Solekan pipi berona merah jambu menjadi bintang utama di pentas petunjukan Bora Aksu. Teknik pengaplikasian pemerah pipi secara bulatan penuh ini mencipta efek kemerahan seperti anak patung. Menggunakan Lisa Eldridge True Velvet Lip Colour dalam rona Velvet Pompadour, Velvet Jazz, dan Velvet Ribbon, pipi model kelihatan segar dan merona, sementara Elevated Glow Highlighter menambahkan kesan berkilau yang memukau. Ini merupakan salah satu look kegemaran EH!
Bulu Mata Ultra-panjang
Di pentas Harris Reed, mata tertumpu dengan bulu mata ultra-panjang yang menjulang tinggi bak karya seni avant-garde. Jurusolek, Sofia Tilbury, mencipta bulu mata yang bukan sahaja memberi ilusi dramatik tetapi juga menambah elemen fantasi ke dalam langkah model di pentas. Tidak hairanlah trend ini turut mendapat pujian bintang seperti Florence Pugh, yang dilihat menyukai keunikan dan daya tarikan bulu mata ekstrem ini.
Sartorial Shadows
Pentas fesyen tahun ini menandakan kemunculan semula pembayang mata yang lebih ekspresif! Di pertunjukan Connor Ives, mengambil inspirasi daripada konsep doll eyes, menggabungkan rona pastel dari koleksi pakaian untuk menghasilkan solekan mata yang segar dan unik. Walaupun musim luruh dan sejuk lazimnya dipenuhi rona tanah dan burgundy, kali ini warna pastel akan terus relevan. jadi, simpan palet pembayang mata cerah anda untuk musim mendatang kerana warna pastel bakal menjadi warna trendy untuk tahun 2025 ini.
Ethereal Skin
Jika sebelum ini kita terpesona dengan konsep ‘glass skin’, kini trend kecantikan melangkah lebih jauh ke arah ethereal glow, kilauan kulit yang seolah-olah dibasahi cahaya dari dimensi lain. Dilara Findikoglu mengangkat estetika ini ke tahap seterusnya dengan menampilkan model dengan kulit yang kelihatan iridescent, mencipta ilusi wajah bercahaya dari dalam. Teknik ini menekankan penggunaan produk bercahaya yang lembut tetapi memberikan impak maksimum, menjadikannya trend yang bakal digilai ramai pada tahun 2025.
Artikel Berkaitan: Rekaan Fesyen Yang Diinspirasikan Oleh Filem