Filem biopik, filem yang mengisahkan kehidupan sebenar seseorang tokoh terkenal yang memfokuskan pada peristiwa penting dalam hidup mereka berdasarkan kisah benar.
Pelakon memang perlu pandai menyesuaikan diri dengan pelbagai watak, itu memang sebahagian daripada kerja mereka. Tapi ramai yang setuju, melakonkan watak fiksyen biasanya kurang tekanan berbanding membawakan watak sebenar. Watak fiksyen boleh diolah ikut kreativiti sendiri. Tapi kalau watak berdasarkan individu sebenar, pelakon kena ikut sejarah, ingatan orang ramai, dan rupa paras juga.
Di sini, EH! senaraikan lakonan biopik paling tepat yang pernah ditampilkan dalam filem.
Angelina Jolie sebagai Maria Callas dalam Maria
Filem ini mengisahkan minggu terakhir dalam hidup lagenda opera Maria Callas di Paris pada era 1970-an, diselang-selikan dengan imbas kembali ketika penyanyi itu tenggelam dalam kenangan silam. Lakonan Angelina Jolie sebagai penyanyi soprano terkenal ini amat sesuai, memandangkan status bintang antarabangsa dan keanggunan semula jadi yang dimilikinya.
Marisa Abela sebagai Amy Winehouse dalam Back to Black
Marisa Abela, berjaya membuat penonton starstruck seketika apabila muncul dengan gaya ikonik Amy Winehouse — sanggul ‘beehive’, solekan mata bersayap sambil menjiwai gerak tubuh dan menyampaikan lagu-lagu penuh jiwa yang pernah memahat nama penyanyi itu dalam sejarah. Malah, dia turut menghidupkan sisi malu-malu dan keanehan comel Amy ketika di luar pentas dengan cukup meyakinkan.
Cailee Spaeny sebagai Priscilla Presley dalam Priscilla
Diinspirasikan daripada autobiografi Priscilla sendiri bertajuk Elvis and Me yang diterbitkan pada tahun 1985, filem ini melihat Raja Rock n’ Roll dari sudut pandangan Priscilla — membawa penonton ke belakang tirai mewah dan menjauh dari sorotan lampu pentas, untuk menyingkap sisi sebenar Elvis dan pelbagai pengalaman Priscilla bersamanya — dari yang romantik, ke yang penuh kekeliruan dan segalanya di antara itu.
Seperti yang diakui ramai pengkritik dan penonton, Cailee Spaeny berjaya menampilkan lakonan yang luar biasa, bukan sahaja dalam menyampaikan kerumitan wataknya dan hubungan yang rapuh dengan Elvis, tetapi juga dari segi rupa fizikal yang cukup meyakinkan sebagai Priscilla Presley.
Austin Butler sebagai Elvis Presley dalam Elvis
Walaupun ramai yang cepat mengulas tentang perubahan suara Austin Butler yang agak keterlaluan semasa mempersiapkan diri untuk membawakan watak Elvis dalam biopik Elvis arahan Baz Luhrmann pada tahun 2022, tidak dapat dinafikan bahawa nada suaranya yang unik digabungkan dengan rupa paras yang hampir seiras ikon muzik itu berjaya mencipta detik-detik yang membuatkan penonton lupa mereka sedang menonton lakonan.
Rami Malek sebagai Freddie Mercury dalam Bohemian Rhapsody
Sama ada melalui lakonannya yang hampir sempurna dalam menghidupkan semula persembahan ikonik Queen di Live Aid pada tahun 1985 di mana beliau dengan yakin menguasai Stadium Wembley yang penuh sesak atau keupayaannya meniru gaya flamboyan dan keberanian yang begitu sinonim dengan Freddie Mercury sebenar, ramai yang bersetuju bahawa lakonan Rami Malek sebagai vokalis utama band rock lagenda ini dalam filem Bohemian Rhapsody(2018) merupakan satu penghormatan yang tepat dan mengagumkan. Ia adalah persembahan yang begitu mengasyikkan, seolah-olah penonton benar-benar menyaksikan kelahiran seorang lagenda rock secara langsung di hadapan mata mereka.
Ana de Armas sebagai Marilyn Monroe dalam Blonde
Dalam filem Blonde, Ana de Armas membawa kehidupan Marilyn Monroe yang penuh tragis dan bersinar ke layar perak dengan penuh emosi. Berdasarkan novel karya Joyce Carol Oates, filem ini memaparkan sisi peribadi Monroe yang jarang diketahui umum, menjelajah kehidupan peribadinya yang rumit dan cabaran sebagai ikon seks yang terkenal di Hollywood.
Lily James dan Sebastian Stan sebagai Pamela Anderson dan Tommy Lee dalam Pam and Tommy
Dalam siri “Pam and Tommy”, Lily James dan Sebastian Stan menghidupkan kembali kisah hangat antara bintang “Baywatch” Pamela Anderson dan pemain dram Mötley Crüe, Tommy Lee. Walaupun pemilihan pelakon pada awalnya diragui ramai, penampilan meyakinkan James dan Stan – termasuk transformasi fizikal yang luar biasa – berjaya memikat penonton. Siri ini mengangkat kisah cinta, skandal, dan pencerobohan privasi yang menyelubungi pasangan sensasi ini, terutamanya insiden kebocoran rakaman video peribadi mereka yang menjadi tajuk utama seluruh dunia.
Baca: Merdeka 118 Menjadi Pilihan, Ini Fakta Tentang Filem Marvel “Thunderbolts*”