Dari kolaborasi istimewa bersama A$AP Rocky hingga rekaan penuh gaya dari jenama terkenal, koleksi kasut pilihan EH! bulan ini menjanjikan gabungan stail dan keselesaan yang sempurna.
Kasut bukan lagi sekadar pelengkap gaya – ia adalah pernyataan fesyen yang mencerminkan identiti dan personaliti pemakainya. Dengan rekaan yang versatil, lima pilihan kasut ini sesuai untuk mereka yang menggemari gaya jalanan moden mahupun sporty yang santai.
EH! bariskan lima kasut yang patut anda miliki bulan ini – dan ya, salah satunya hasil kolaborasi eksklusif bersama figura penuh gaya, A$AP Rocky.
A$AP ROCKY x PUMA MOSTRO OG
Kolaborasi berama rapper terkenal Asap Rocky, kasut ini menampilkan perincian reflektif 3M yang menyinar apabila terkena cahaya, seperti lampu kereta di waktu malam. Reka bentuknya diinspirasi oleh semangat jalanan yang penuh adrenalin dan keberanian.
Dihasilkan dalam gabungan rona hitam, kelabu dan perak yang sleek, rekaan ini mengekalkan tapak bergerigi ikonik Mostro serta siluet arca yang futuristik. Bahagian atas yang direka penuh dinamik menambah sentuhan moden, menjadikan kasut ini bukan sekadar gaya – ia satu kenyataan.
Harga: RM 669
LV BUTTERSOFT Sneaker
Direka oleh Pengarah Kreatif Lelaki Louis Vuitton, Pharrell Williams, kasut BUTTERSOFT ini menyerlahkan kemewahan melalui sentuhan ultra-lembut yang dihasilkan daripada gabungan kulit anak lembu dan kulit kambing. Diperincikan oleh tangan mahir artisan Louis Vuitton, reka bentuk ini turut menampilkan bahagian atas berkusyen yang memberikan keselesaan maksimum.
Setiap butiran direka dengan teliti – daripada lambang LV Initials, trim kulit asli, hinggalah motif timbul wajah Pharrell dan ilustrasi udang galah yang menjadi simbolik kepada pertunjukan lelaki Musim Luruh/Sejuk 2025.
Harga: RM 5,600
Melengkapi koleksi kasut sedia ada, CELINE memperkenalkan RACER, sneaker terbaharu yang diinspirasikan daripada estetika atletik era 70-an. Mengutamakan ringan dan keselesaan, kasut ini diperbuat daripada gabungan material seperti nilon, suede dan kulit, menjadikannya pilihan ideal untuk gaya harian yang aktif namun bergaya.
Menampilkan tandatangan ikonik “Triomphe” yang disulam di bahagian sisi dan timbul di belakang, RACER tampil menonjol dalam pilihan warna berani yang menyerlahkan siluet retro-nya. Versatil dan uniseks, sneaker ini kekal setia pada kod rekaan rumah fesyen CELINE – elegan, sporty dan penuh karakter.
Harga: RM 3,900
Longchamp LA CIGALE Clogs
Menggabungkan estetika bohemian dengan warisan Perancis, Longchamp LA CIGALE Clogs menyerlah sebagai rekaan kasut yang berani namun tetap bersahaja. Diinspirasikan oleh semangat musim panas di selatan Perancis – khususnya kawasan Provence – clog ini dinamakan La Cigale, merujuk kepada serangga ikonik (cengkerik) yang sinonim dengan suasana musim panas di rantau itu.
Diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi dan kayu asli sebagai tapak, rekaan ini menampilkan butiran stud logam, ukiran logo halus, dan siluet yang selesa untuk dipakai seharian. Kombinasi gaya klasik dan moden menjadikannya item versatil.
Harga: RM3,665
Adidas Originals by Wales Bonner Karintha Lo
Koleksi kolaboratif antara adidas Originals dan pereka British-Jamaican Wales Bonner terus mencipta naratif gaya yang memadukan warisan sukan dengan kehalusan pertukangan budaya. Model Karintha Lo tampil sebagai sneaker yang elegan dan minimal, diinspirasikan oleh siluet kasual klasik dengan penekanan terhadap tekstur dan kemasan premium.
Menampilkan material kulit mewah, perincian jahitan kontras, dan palet warna bersahaja, rekaan ini bukan sekadar meraikan gaya retro adidas – ia mengangkat sneaker ini ke aras fesyen kontemporari yang penuh makna. Sentuhan Wales Bonner turut dapat dilihat melalui elemen halus seperti logo co-branding dan reka bentuk bertemakan spiritualiti, budaya Afro-Caribbean dan ekspresi identiti.
Harga: £300