Sebut sahaja tajuk sudah cukup buat dada terasa sesak dan mata mula berkaca. Episod terakhir mungkin sudah lama ditayangkan, tetapi emosi yang ditinggalkan masih segar seolah-olah baru semalam kita lalui semuanya bersama watak-watak itu.
Ada K-Drama yang kita tonton sekadar suka suka-suka, tetapi ada juga yang meninggalkan luka dalam jiwa. Drama yang buat kita termenung, replay OST berulang kali, scroll fan teori sampai lewat malam dan yang paling menyakitkan, walaaupun sudah lama berlalu, scene tersebut masih terngiang dalam kepala. Langsung tidak beri peluang untuk kita move on sebaliknya terus menghantui.
Jika anda sedang mencari K-Drama untuk menangis seperti kena tinggal atau sekadar ingin throwback kisah cinta yang tidak kesampaian, EH! senaraikan sepuluh K-drama paling menghantui jiwa yang bukan sekadar nostalgia tetapi ibarat luka yang dibuka semula dan entah bila akan sembuh.
1. Autumn in My Heart (2000)
Kalau ada satu drama yang layak digelar OG heartbreak, inilah dia. Autumn in My Heart yang bukan sekadar melodrama tetapi perintis genre air mata dalam dunia K-Drama. Bermula dengan kisah anak tertukar di hospital, menjadi cinta terlarang antara abang dan adik yang dibesarkan bersama, dan diakhiri dengan penyakit yang meragut segalanya. Setiap episod seolah-olah satu persiapan untuk patah hati, dan bila tiba klimaksnya kita hanya mampu terdiam. Sampai hari ini, masih ramai yang belum mampu menonton semula drama ini sebab terlalu pedih.
2. Scarlet Heart: Ryeo (2016)
Sebuah kisah yang bermula seindah mimpi tetapi perlahan-lahan berubah menjadi mimpi ngeri. Scarlet Heart: Ryeo menyatukan elemen cinta, pengkhianatan dan perebutan takhta yang telah mematahkan hati berjuta penonton. Cinta antara Hae Soo dan Wang So terlalu kuat untuk dilupakan, tetapi terlalu menyakitkan untuk diingati. Dan bila sampai ke penghujung, kita hanya mampu termenung bersama air mata dan harapan palsu yang ditinggalkan untuk musim kedua.
3. Uncontrollably Fond (2016)
Cinta yang diberi peluang kedua tetapi sayangnya, masa tidak menyebelahi mereka. Uncontrollably Fond bukan sekadar kisah percintaan, ia adalah perjalanan emosi yang perlahan-lahan membawa penonton ke arah satu pengakhiran yang sudah dijangka namun tetap menghancurkan hati. Kim Woo-bin menghidupkan wataknya dengan penuh jiwa, menjadikan setiap babak terasa benar-benar perit. Sejak episod pertama, kita sudah tahu watak utamanya tidak akan bertahan. Tetapi itu tidak membuatkan sakitnya kurang sebaliknya, setiap episod terasa seperti detik-detik terakhir yang membawa kita semakin dekat kepada perpisahan.
4. The Smile Has Left Your Eyes (2018)
Gelap, twisted, dan sarat dengan trauma. The Smile Has Left Your Eyes bukan K-Drama biasa. Ia bermula dengan misteri yang berkembang menjadi kisah cinta yang penuh tanda tanya, sebelum akhirnya menjunam ke arah tragedi yang tidak dijangka. Setiap episod terasa seperti menarik nafas dalam-dalam, menunggu bila segalanya akan meletup. Dan bila kebenaran mula terbongkar, ia bukan sahaja mematahkan hati tetapi merobek jiwa. Drama ini ibarat jerat emosi, yang sekali kita masuk, sukar untuk keluar.
5. Hi Bye, Mama! (2020)
Hi Bye, Mama !mengisahkan seorang ibu yang diberi peluang kedua untuk kembali ke dunia untuk mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir. Drama ini ibarat surat cinta buat mereka yang telah pergi. Penuh dengan kenangan, kasih sayang dan kerinduan yang tidak pernah padam. Jika anda pernah kehilangan seseorang yang anda sayang, drama ini akan terasa sangat dekat di hati dan mungkin, menjadi cara untuk melepaskan rindu yang tidak pernah sempat terucap.
6. Youth of May (2021)
Berlatar belakangkan rusuhan tragik Gwangju tahun 1980, Youth of May membawa kisah cinta yang indah, jujur dan penuh harapan. Namun malangnya, tidak pernah sempat mekar sepenuhnya. Setiap detik antara Hee Tae dan Myung Hee terasa tulus dan manis, membuatkan kita percaya bahawa cinta sebenar itu wujud. Episod terakhir drama ini akan buatkan anda duduk diam selepas dan tertanya-tanya.
7. Move to Heaven (2021)
Move to Heaven bukan K-Drama yang sarat dengan kisah cinta atau konflik besar sebaliknya ia adalah naskhah yang sunyi, perlahan, tetapi sangat menggetarkan jiwa. Setiap episod membawa kisah kehilangan yang diilhamkan daripada kejadian sebenar, disampaikan melalui perspektif barang peninggalan si mati. Tanpa perlu babak-babak dramatik, drama ini menyentuh lubuk hati paling dalam tentang kasih sayang keluarga, kehilangan yang tidak sempat diungkapkan, dan memori yang terus hidup walau orangnya sudah tiada. Ia buat kita berhenti sejenak dan berfikir, betapa singkatnya masa bersama insan tersayang.
8. Twenty Five, Twenty One (2022)
Ini bukan kisah cinta yang berakhir dengan kematian, tetapi ia tetap memilukan kerana terlalu realistik. Twenty Five, Twenty One mengisahkan cinta pertama yang mekar di tengah-tengah impian besar dan perubahan hidup. Na Hee Do dan Baek Yi Jin adalah pasangan yang saling mencintai, tetapi hidup membawa mereka ke arah berbeza. Ending yang simple, tidak dramatik, tetapi cukup untuk merobek perasaan. Kita tidak disajikan tragedi, sebaliknya realiti yang tidak semua yang kita sayang akan tinggal bersama kita selama-lamanya.
9. Snowdrop (2022)
Dengan latar belakang konflik politik Korea Selatan pada era 1980-an, Snowdrop menyatukan kisah cinta dua insan dari dua dunia yang berbeza. Hubungan antara Su Ho dan Young Ro bermula dengan penuh harapan, tetapi realiti sekitar mereka terlalu gelap untuk membenarkan pengakhiran yang bahagia. Setiap episod menyulam ketegangan politik dan cinta terlarang yang semakin menyesakkan. Dan bila sampai ke penamatnya, kita hanya mampu terdiam kosong, pedih, dan tenggelam dalam air mata.
10. Gyeongseong Creature (2023)
Menggabungkan elemen thriller, horror dan sejarah, Gyeongseong Creature membawa penonton ke zaman gelap Korea yang dipenuhi ketakutan dan misteri. Namun, yang paling menghantui bukanlah makhluk-makhluk ngeri atau eksperimen kejam tetapi cinta dua jiwa yang terperangkap dalam sistem yang memusnahkan harapan dan kemanusiaan. Episod terakhir yang terbuka dan menyakitkan buat ramai penonton terdiam, tertanya-tanya, dan menuntut jawapan.
Artikel Berkaitan: 7 K-Drama Terbaharu 2025