Agak mustahil bagi pengguna media sosial, khususnya TikTok untuk tidak pernah melihat kelibat gadis cantik berambut keriting ini di skrin telefon mereka. Triseya Johan, antara ‘gadis digital’ berpengaruh masa kini yang telah menjadi idola dan rujukan generasi muda.
Muka depan EH! bulan ini menampilkan barisan model generasi baharu, dan Triseya adalah salah seorang daripada enam wajah terpilih. Ramai mengenalinya melalui aplikasi TikTok, di mana rambut kerinting semula jadinya yang mempesona membuatkan dia benar-benar menyerlah. Keakraban Triseya bersama adik-beradiknya turut melonjakkan populariti mereka sebagai Johan Sisters. Bertentang mata dengannya, saya mendapati Triseya seorang yang pemalu, bertutur dengan nada lembut dan penuh elegan.
Ini merupakan sesi penggambaran pertamanya bersama EH!, dan apa yang boleh saya katakan, dia benar-benar fotogenik. Hanya beberapa bidikan kamera sudah cukup untuk mendapatkan hasil yang kami mahukan, membuktikan bahawa dia memang berada di tempat yang tepat, melakukan sesuatu yang dia cintai.
Hari ini, nama Triseya semakin kukuh bukan sahaja dalam dunia kecantikan, malah juga fesyen. Dia telah dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga Sephora Malaysia dan JD Sports. Ikuti temubual eksklusif saya bersama Triseya Johan.

Bagi mereka yang pertama kali bertemu Triseya melalui muka depan ini, siapakah Triseya?
“The middle child”
Satu perkara yang orang sering salah faham tentang bidang modelling?
Bukan bermaksud seseorang yang kelihatan yakin dan glamor di depan kamera itu melalui perjalanan yang mudah.
Bila Triseya sedar bahawa modelling boleh jadi lebih daripada sekadar impian?
Kalau saya dapat menginspirasi walaupun hanya seorang gadis di luar sana, ia bukan lagi sekadar impian , tetapi satu impak.
Bagaimana fesyen membantu Triseya mengenali diri sendiri?
Saya rasa apabila saya menemui model-model yang memberi inspirasi dan kelihatan seperti saya — berambut keriting dan berkulit sawo matang — apabila saya mencuba pelbagai gaya di set penggambaran, ia membantu saya menemui gaya fesyen saya. Saya juga berhenti berpakaian untuk orang lain dan mula berpakaian untuk versi diri yang saya sedang jadi.
Bagaimana Triseya membawa personaliti Triseya ke dalam pose atau gaya berjalan?
Saya bayangkan diri saya sebagai versi paling hebat dan mempesona diri saya, kemudian salurkan keyakinan “baddie” itu ke dalam kerja saya.
Apabila tidak memperagakan pakaian sebagai model, what grounds you?
Saya luangkan masa bersama keluarga, saya suka melakukan yoga kerana ia membuat saya rasa hidup dan tenang. Saya juga gemar mencuba pelbagai hobi, menghabiskan masa di alam semula jadi, melakukan pilates, menunggang kuda, dan menjauhkan diri daripada telefon membantu saya kekal berpijak.
Bagaimana Triseya kekal yakin apabila tidak berada dalam keadaan terbaik?
Saya dengar podcast motivasi dan menari seorang diri di dalam bilik membuatkan saya rasa lebih yakin. Semua orang ada hari-hari sukar mereka, itu perkara biasa — kita semua manusia.

Apa itu kecantikan bagi Triseya?
Apabila seseorang itu tulen dan setia pada diri sendiri.
Bagaimana Triseya mengimbangi tekanan media sosial dengan menjadi diri sendiri?
Saya tidak terlalu peduli tentang pendapat atau persepsi orang terhadap saya.
Apa yang Triseya mahu kerjaya peragaan anda sampaikan?
Kecantikan bukan tentang menyesuaikan diri, tetapi berdiri dengan kebenaran diri sendiri.
Apakah detik pertama “I made it”?
Apabila saya melihat diri saya di papan iklan di seluruh bandar, terutamanya untuk kempen terbaru saya bersama Sephora dan JD Sports. Saya sangat bersyukur dengan semua yang saya capai, tetapi saya tahu perjalanan saya masih panjang.
Adakah Triseya ditemui atau membina laluan sendiri?
Saya membina laluan sendiri, dan menemui peluang di sepanjang jalan.
Triseya membesar dengan media sosial — bagaimana ia membentuk personaliti diri?
Menyerap kandungan bermakna dan melihat model-model cantik sebahagiannya membentuk siapa saya hari ini. Ia memberi saya inspirasi.
Adakah berada di alam maya kini sebahagian daripada kerja, atau anda letakkan sempadan?
Saya letakkan sempadan. Saya pilih perkara yang kekal peribadi — hubungan, cabaran hidup, atau momen yang sangat berharga — saya simpan untuk diri sendiri. Tidak semua perkara perlu dijadikan kandungan.
Bagaimana Triseya menggunakan platform Triseya dan melindungi ketenangan diri?
Dengan berkongsi rutin saya.
Apa yang masih Triseya pelajari dalam modelling atau kehidupan?
Untuk menjadi lebih terbuka dan rapuh secara emosi.
Apa yang menginspirasikan gaya Triseya di depan dan di luar kamera?
Jujurnya, saya cenderung memilih gaya yang benar-benar mencerminkan diri saya.
Apa maksud berada di muka depan majalah ini untuk Triseya?
Ia bermakna segalanya untuk saya. Ia membuktikan kehadiran, usaha, dan rupa saya mempunyai nilai. Ia menjadi peringatan sejauh mana saya telah sampai — semua keraguan diri, penolakan, dan pertumbuhan terkumpul dalam satu imej.