Bagi meraikan 130 tahun kreativiti, inovasi dan kepakaran dalam seni cahaya, Pengarah Kreatif Global Swarovski, Giovanna Engelbert, mempersembahkan koleksi Vienna yang diinspirasikan daripada keanggunan abadi dan kehalusan angsa ikonik Swarovski.
Koleksi edisi terhad ini dinamakan Vienna kerana kota ini dengan tempat pengasas visioner Daniel Swarovski terinspirasi untuk mendefinisi semula rekaan dan penghasilan kristal. Budaya serta glamor kota bersejarah Austria itu terus menjadi sumber ilham tanpa batasan buat Engelbert.
Himpunan Vienna ini memperkenalkan interpretasi baharu kepada lambang ikonik rumah aksesori ini. Menggambarkan keagungan unik Swarovski Swan, koleksi ini menggabungkan seni warisan Swarovski dengan sentuhan moden.
Kristal jernih berkilau diganding bersama aksen ruthenium, mencipta kontras berani dalam reka bentuk bercirikan seni bina. Bentuk sayap abstrak dan siluet menyerupai bulu seolah-olah menentang graviti, memancarkan tenaga kinetik, menginterpretasi pergerakan anggun angsa.
Perincian pavé serta susunan batuan dalam potongan dan saiz berbeza membuatkan koleksi ini lebih gah seiring dengan penciptaan sebuah koleksi tribute kepada Swarovski sendiri yang sudah 130 tahun berkongsi kepakaran mereka dalam penghasilan dan pertukangan kristal dan halus Swarovski.
“Angsa adalah makhluk indah, seakan mitos, yang melambangkan keanggunan, kecantikan, cinta abadi dan transformasi. Ia dipilih sebagai lambang Swarovski kerana mencerminkan cinta kami terhadap kristal serta kehalusan seni dan rekaan kami,” terang Giovanna Engelbert.
“Untuk koleksi Vienna, saya ingin memberi penghormatan kepada Swarovski Swan dengan membayangkannya dalam bentuk abstrak dan sedang terbang. Ia adalah simbol pergerakan, tenaga, dan kelahiran semula. Rekaannya dihasilkan dengan semangat klasik tetapi tajam dan kontemporari, terasa hidup, melangkaui masa sejak 1895 hingga 2025 , sebuah perjalanan antara warisan dan masa depan.”
Dihasilkan dengan teknik perhiasan mewah dan kemasan halus, Koleksi Vienna menampilkan choker berbentuk skulptural dengan nuansa edgy, cuff telinga menyerupai bulu, rantai menawan yang menggabungkan kristal baguette dengan bulu kristal pavé, serta loket angsa baguettage yang menggunakan teknik Swarovski Sparkling Dance untuk memberi ilusi angsa yang sedang bergerak.
Koleksi Vienna ini dipersembahkan dalam kotak eksklusif berwarna emas sebagai meraikan 130 tahun kegemilangannya. Himpunan edisi terhad ini hanya boleh didapati di butik Swarovski di Pavilion Kuala Lumpur.