Kutipan panggung filem mencecah 3 juta tontonan hanya dalam sembilan hari tayangan dan dipilih sebagai perwakilan Indonesia untuk kategori Best International Feature Film (Feature Film Internasional Terbaik) pada Academy Awards ke-98 (Oscar 2026).
Di sebalik pesona lembut dan karisma semula jadi, Sheila Dara sentiasa tampil dengan aura segar dalam setiap karya lakonannya. Sheila juga antara pelakon yang mampu menghidupkan watak penuh emosi dan jiwa.
Terbaru, beliau kembali mencuri perhatian penonton melalui filem romantik yang sedang hangat diperkatakan, Sore: Istri dari Masa Depan.
Filem ini bukan sekadar kisah cinta tipikal. Diadaptasi daripada web series popular dengan judul sama, Sore: Istri dari Masa Depan mengetengahkan tema tentang takdir, pilihan hidup, serta pengorbanan.
Watak Sore lakonan Sheila menjadi jiwa utama dalam naratif ini, seorang wanita misteri dari masa depan yang hadir membawa perubahan besar dalam hidup Jonathan. Kehadirannya bukan sahaja menguji takdir, malah membuka ruang renungan tentang makna cinta sejati.
Bersama EH!, Sheila Dara berkongsi sisi eksklusif tentang penghayatan watak Sore, proses kreatif di sebalik tabir, serta apa yang menjadikan karya ini begitu istimewa dengan mesej mendalam dan visual yang memikat.


Tiga perkataan yang describe watak Sore
Kuat, lovable dan lembut.
Tiga perkataan yang mendefinisi diri kamu sendiri
Incisive, chill dan suka tidur.
Apa yang istimewanya watak atau karakter kamu di dalam filem ini berbanding watak yang pernah dibawa sebelum ini?
Mungkin kerana filem ini bergenre romantik dengan sentuhan fantasi, ada beberapa kejadian yang agak sukar difahami secara logik. Sebab itu, saya banyak berbincang dengan Yandi sebagai pengarah dan juga dengan Dion sebagai gandingan saya.
Dalam mendalami watak Sore, saya melihatnya sebagai seorang wanita yang cintanya begitu besar terhadap suaminya, hingga sanggup melintasi ruang dan waktu demi mengubah hidup suaminya menjadi lebih baik. Hal ini membuatkan saya banyak berfikir dan bertanya kepada Yandi tentang bagaimana cara menjiwai seorang wanita dengan cinta sebesar itu—cinta yang ikhlas dan penuh pengorbanan.
Untungnya, Yandi sebagai penulis dan pengarah sangat terbuka. Setelah banyak perbincangan, akhirnya kami berjaya menyusun ‘puzzle’ watak Sore satu demi satu.
Babak atau skrip di dalam filem ini yang feels most personal bagi kamu?
Ketika Sore cuba mencari identitinya sendiri.
Apakah satu adegan/scene di dalam filem ini yang kamu excited untuk penonton lihat?
Saya rasa ada satu babak yang cukup berbekas di hati penonton di Indonesia, dan saya tertanya-tanya sama ada penonton di Malaysia juga akan merasakan hal yang sama. Babak itu ialah adegan terakhir dalam filem ini.
Apakah mesej yang kamu mahu penonton bawa pulang sebaik menonton filem ini?
Saya rasa pengalaman menonton filem sentiasa berbeza-beza. Kadang-kadang kita akan terhubung dengan bahagian tertentu dalam filem kerana pengalaman hidup kita juga berbeza. Jadi, saya sebenarnya tidak meletakkan harapan khusus tentang apa yang perlu penonton rasakan. Sebaliknya, saya lebih ingin mendengar apa yang mereka dapat selepas menonton.
Saya mahu berkongsi, mahu tahu apa yang mereka rasa setelah menonton, kerana filem ini kami hasilkan dengan sepenuh hati. Semoga apa yang kami sampaikan dalam filem ini mampu sampai ke hati penonton juga.

Apa yang kamu belajar tentang diri kamu sendiri sepanjang penggambaran filem ini?
Saya rasa betapa berharganya mendengar kata-kata sederhana seperti ‘selamat pagi’. Hanya kerana seseorang bangun tidur lalu menyapa dengan ucapan itu, ia sudah cukup bermakna bagi saya. Kita tidak pernah tahu apa yang mereka lalui atau apa yang mereka bawa dalam hidup mereka.
Namun, mereka tetap hadir untuk kita dan tetap menyapa setiap hari. Dari situ, saya belajar untuk lebih menghargai perkara-perkara kecil dalam hidup.
Kamu ada cara tersendiri dalam melakukan persiapan setiap watak baru sebelum masuk ke set penggambaran?
Rasanya setiap orang punya cara yang berbeza-beza. Tetapi bagi saya, biasanya saya akan berusaha mengenali watak saya sebagai seorang manusia. Bermula daripada membaca skrip, berbual dengan pengarah dan rakan pelakon, hingga belajar berempati dengan apa yang dilalui oleh watak itu. Saya cuba memahami kehidupannya, bahkan sebelum peristiwa yang tertulis dalam skrip bermula.
Dengan cara itu, saya benar-benar dapat mengenali watak tersebut seperti seorang insan. Dan itulah sebabnya setiap kali selesai penggambaran, selalu ada rasa sedih — kerana seakan-akan harus mengucapkan selamat tinggal kepada seorang teman yang sudah saya kenali hidup dan pengalamannya.
Penggambaran filem biasanya mengambil masa yang lama, lebih dari sebulan paling kurang. Bagaimana kamu meraikan diri setiap kali tamat penggambaran?
Tidur. Biasanya selepas selesai penggambaran, saya akan terus pulang. Selalunya saya ambil satu hari penuh di rumah hanya untuk berehat, tidur dan benar-benar melepaskan penat.

Siapa biggest influence kamu sama ada dalam lakonan mahupun dalam kehidupan?
Sebenarnya, di awal karier saya mula jatuh cinta dengan dunia lakonan kerana terinspirasi oleh seorang aktres Indonesia, Acha Septriasa, yang juga pernah menuntut di Malaysia. Salah satu filem terawal saya adalah bersama Kak Acha. Saya tertarik dengan cara beliau membedah wataknya.
Ketika itu, kak Acha dipasangkan dengan pelakon bernama Arifin Putra. Walaupun tidak tertulis dalam skrip, mereka berbincang bersama — bagaimana watak mereka pertama kali bertemu, bagaimana kisah percintaan mereka bermula, bahkan bagaimana lamaran perkahwinan berlaku. Saya fikir, semua itu sangat menarik.
Dari situ saya sedar bahawa berlakon bukan sekadar menghafal skrip, tetapi mendalami dan mengenal sebuah karakter seolah-olah ia benar-benar seorang manusia. Cara Kak Acha mendekati wataknya dengan begitu jujur dan manusiawi telah memberi pengaruh besar kepada saya. Pengalaman itu membentuk cara saya sendiri dalam mendekati watak-watak yang saya bawa hingga kini.
Satu atau dua perkara yang peminat di Malaysia perlu tahu tentang diri kamu?
Pertama sekali, saya memang suka makanan Malaysia. Antara yang menjadi kegemaran saya ialah dried chilli pan mee, nasi kandar, dan juga durian Musang King.
Selain itu, ada satu perkara yang menarik perhatian saya. Setiap kali musim Hari Raya, entah bagaimana, TikTok FYP saya sering dipenuhi dengan wanita Malaysia yang berkongsi baju raya mereka. Saya fikir rekaan baju raya di Malaysia sangat cantik dan berbeza, malah sukar untuk ditemui di Indonesia. Saya sampai sering bertanya kepada rakan-rakan di Malaysia, ‘Kamu beli di mana? Jenama apa ini?’
Lucunya, mereka juga kadang-kadang membeli di Indonesia. Ada yang pergi ke Jakarta, ke tempat seperti Coldpick atau Thamrin City, untuk mencari koleksi daripada jenama tempatan. Jadi, sebenarnya ada pertukaran budaya yang indah di situ — orang Indonesia suka berbelanja di Malaysia, dan orang Malaysia juga suka mencari fesyen di Indonesia. Rasanya, itulah yang membuat saya lebih menghargai kedua-dua negara ini.
3 item fesyen dan kecantikan harus ada di set penggambaran?
Pertama, jaket. Apa saja jenis jaket, sebab saya mudah rasa sejuk, lebih-lebih lagi ketika penggambaran Sore yang dilakukan semasa musim luruh tetapi baju saya mostly untuk musim panas. Kedua, beg kerana saya biasanya bawa banyak barang, termasuk powerbank dan telefon bimbit. Dan yang ketiga, skarf. Biasanya di antara waktu penggambaran, saya akan tidur sebentar, jadi skarf itu saya gunakan untuk menutup wajah.
Untuk kecantikan pula, pertama pastinya concealer, sebab saya ada bawah mata yang agak gelap. Jadi walaupun tidak pakai banyak solekan, concealer tetap perlu. Kedua, gincu, kerana tanpa gincu saya akan kelihatan pucat. Dan yang terakhir, minyak wangi.
Baca:
#EHksklusif : Dion Wiyoko, Pelakon Sore: Istri dari Masa Depan