Kemasyhuran koleksi LOVE sudah berdekad, kini Cartier hadirkan himpunan baharu yang bakal menjadi ikon, LOVE Unlimited.
Berbekalkan idea bentuk, clasp dengan detil motif skru ikoniknya, Cartier merevolusikan dunia aksesori dengan memperkenalkan gelang tangan LOVE di New York pada tahun 1969. Ia merupakan manifestasi sebenar dunia perhiasan hasil imaginasi pereka Aldo Cipullo untuk Cartier New York. Rekaannya itu tepat sebagai simbol semangat era tersebut; meraikan kebebasan baru dunia percintaan yang dimeterai dengan pemutar skru.
Selang beberapa dekad selepas himpunan LOVE menjadi begitu ikonik, Cartier membuah idea dengan memanjangkan lagi kembara cinta ini menerusi koleksi terbaru LOVE Unlimited. Hadir dengan kunci idea rekaan yang ringkas dan fleksible, namun mempunyai impak stail yang besar dalam hal penggayaan. Rantai tangan yang fleksibel sepenuhnya ini melingkari pergelangan tangan bagaikan satu jalinan kasih sayang yang bisa disambungkan kepada utas gelang yang lain untuk gaya yang lebih ekstra sekaligus mendefinisi rasa cinta yang tidak pernah putus.
Ergonomik, anggun dan amat bernilai, gelang LOVE Unlimited menggabungkan semua daya tarikan seni perhiasan diri. Menurut Cartier untuk menyempurnakan LOVE Unlimited, pasukan kerja mereka melakukan lebih dari 100 percubaan dan prototaip. Ini maksud saya, idea ringkas namun tak bererti pembuatannya mudah, LOVE Unlimited terlihat ringkas namun prosesnya rumit.
Jemputan ke butik Cartier tempoh hari benar-benar membuat mata saya berpinar melihatkan pantulan sinar yang berkemilauan dari rantai tangan dan cincin dari koleksi ini. Koleksi ini tidak hanya terhad pada gelang tangan semata, ia juga dilengkapkan dengan rekaan cincin dalam butir detil serupa.
Reka bentuknya yang ringkas, uniseks dan mudah dikenali membolehkannya berevolusi dalam pelbagai bentuk sama ada ditatahi berlian, versi cincin, saiz kecil, sederhana, dijadikan loket atau ditatahi batu permata, dalam emas putih, digandakan dua atau lebih, sehinggalah kepada LOVE Unlimited yang terkini. Dari emas putih, emas ros dan emas kuning, saya percaya ia akan menjadi wish list terbaru peminat aksesori khususnya Cartier.
BACA: Angsa dan Kota Vienna, Inspirasi Koleksi 130 Tahun Swarovski