Bayangkan ini, saya melangkah masuk ke Jewel Changi Airport, bunyi deruan Rain Vortex bergema di latar, dan di hadapan saya terpampang logo ikonik Coach, tapi bukan butik biasa… ia sebuah restoran mewah!
Ya, The Coach Restaurant kini rasmi dibuka di Jewel Changi, Singapura, dan biar saya katakan, ini bukan sekadar tempat makan tapi satu pengalaman gaya hidup yang membawa aura New York terus ke Asia Tenggara.
Suasana Seolah-olah Dibawa ke Manhattan
Sebaik saya masuk, saya terasa seolah-olah menjejak kaki ke tengah-tengah Manhattan. Ruangnya eksklusif, dengan 56 tempat duduk, bar kecil untuk 10 orang, dan satu chef’s counter yang membolehkan saya lihat sendiri aksi dapur terbuka mereka, bunyi bara kayu, aroma daging yang dibakar sempurna… semuanya terasa begitu “cinematic”.
Setiap sudut restoran ini menggambarkan DNA Coach: dari alas meja dan apron yang diperbuat daripada kulit glovetanned leather, hinggalah dekorasi dinding berinspirasikan koleksi Coach sendiri. Ada juga highlight yang paling “New York”, sebuah teksi kuning klasik yang tergantung di atas ruang makan! Benar-benar rasa seperti berada dalam filem Hollywood.
Menu: Dari Raw Bar ke Classics, Setiap Suapan Seperti Di New York
Diketuai oleh Chef Kurt Sombero, dapur kayu api di The Coach Restaurant ni memang luar biasa, setiap hidangan terasa seperti babak kecil dari kota New York yang penuh gaya dan karakter.
Saya mulakan perjalanan rasa di Raw Bar & Starters, dan jujur, setiap hidangan terasa extra. Bayangkan The Black and White Bagel, bagel panggang gaya New York, disajikan bersama kaviar dan krim keju, gabungan rasa mewah tapi playful. Kemudian, saya cuba Washington State Oysters dengan blackberry mignonette dan lobak pedas parut yang memberi rasa segar dan tajam di hujung lidah.
Kalau anda pencinta makanan laut, Maryland Crab Cake mereka wajib dicuba. Kepingan ketam yang dibumbui rempah Old Bay, dihidang bersama sos tartar dan perahan lemon segar. Dan untuk sesuatu yang lebih klasik, Classic Steak Tartare, daging lembu USDA tenderloin yang dicincang halus, bersama relish, kuning telur mentah, dan roti putih panggang, so chic, so New York.
Dari bahagian From the Grill, saya pilih dua kegemaran ramai, USDA Prime Ribeye, daging Angus warisan Linz yang dimasak sempurna, disajikan dengan bawang putih confit dan rosemary yang menaikkan aromanya dan Maine Lobster dengan sos hollandaise lada hitam serta lemon segar.
Untuk Side Dishes, saya teruja mencuba Creamy Sweet Corn & Jalapeño, jagung panggang dengan bawang yang lembut dan manis berkrim serta Duck Fat French Fries yang digoreng garing dan disajikan bersama garam perasa serta sos tomato. Simple, tapi sedapnya luar biasa.
Tak lengkap rasanya kunjungan ke sini tanpa mencuba New York Classics mereka, bermula dengan The NY Slice, piza gaya New York yang ringkas tetapi menawan, dilapisi sos tomato segar dan mozzarella yang cair meleleh di setiap gigitan.
Kemudian hadir sesuatu yang benar-benar mencuri perhatian, The Chicken Bucket. Ya, ayam goreng rangup yang dihidang dalam baldi ala Coach, disertakan dengan madu buatan sendiri, sos pedas, dan ranch dressing yang menjadikan setiap suapan gabungan manis, pedas, dan berkrim yang sempurna.
Dan tentu sekali, saya tidak lepaskan peluang menikmati The NY Burger, daging Wagyu yang lembut dan berjus, disempurnakan dengan keju cheddar, jeruk, serta secret sauce istimewa yang menjadikannya burger paling bergaya yang pernah saya rasa.
Dan pencuci mulut? Oh, ini yang ditunggu-tunggu! NY Style Cheesecake yang tinggi menjulang, dihidang dengan seasonal fruit compote terasa lembut, kaya, dan cukup manis.
Akhir sekali, the showstopper, PB&J Bombe Alaska, gabungan peanut butter parfait dan jem buah, dibalut dengan meringue bakar. Instagram-worthy? Sudah tentu. Tapi lebih penting ia sedap sampai saya terdiam sekejap.
Kenapa Perlu Datang? Bagi saya, The Coach Restaurant di Jewel Changi ini adalah lambang bagaimana jenama fesyen boleh memperluas dunia mereka — dari kulit dan beg tangan ke dunia gastronomi. Ia posh tapi tak berlebihan, moden tapi masih ada jiwa klasik.
Kalau anda ke Singapura, pastikan anda singgah di sini untuk makan tengah hari atau makan malam. Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 11.30 pagi hingga 10 malam di Jewel Changi Airport, #01-207.
Dan percayalah, bila anda melangkah keluar dari restoran ini nanti, anda akan rasa macam baru balik dari New York, tapi tanpa perlu naik pesawat jauh ke sana.
Baca:
Gabungan Futuristik dan Retro, Coach Airways Kini Berwajah Baharu!

				
			










