Mencuri perhatian ramai dengan kecantikan semula jadi serta aura lembut yang menenangkan, Iman Alysha, atau lebih dikenali sebagai Iman Opie, telah menempatkan dirinya sebagai salah seorang figura seni yang berbakat dan serba boleh. Bermula dengan perkongsian kreatif di TikTok, Iman secara perlahan membuka ruang untuk menonjol di hadapan lensa, menampilkan bakatnya dalam pelbagai projek seni dan media. Kejayaannya bukan sekadar kerana rupa paras, tetapi juga hasil daripada dedikasi, kreativiti, dan keupayaan mengekalkan keaslian dalam setiap penampilan dan karya, menjadikannya sumber inspirasi kepada generasi muda yang bercita-cita tinggi.
Pada skala 1 hingga 10, sejauh mana anda teruja dengan kehidupan anda sekarang?
7/10
Perkara terbaik yang berlaku kepada anda tahun ini?
Saya banyak mengembara, sama ada untuk kerja mahupun bercuti, dan berpeluang bertemu ramai orang baharu.
Siapakah individu yang paling banyak mempengaruhi anda semasa membesar?
Sejujurnya, individu yang paling banyak mempengaruhi saya bukanlah selebriti, tetapi orang di sekeliling saya — seperti rakan-rakan dan keluarga.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Dua pencipta kandungan — Ms Qiiwie dan Sofeashra. Saya suka semangat mereka dalam menghasilkan kandungan yang terasa asli dan organik.
Bagaimana anda mengekalkan motivasi dan inspirasi diri?
Saya cuba untuk sentiasa berfikiran positif kerana saya percaya tenaga yang saya berikan kepada dunia akan kembali kepada saya dengan cara yang sama.

Cara terbaik untuk berehat atau melepaskan tekanan?
Saya akan luangkan masa untuk self-care, seperti berehat di rumah, menonton siri kegemaran sambil menikmati manisan, dan bermain dengan kucing saya.
Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan/alami?
Mungkin menyelam skuba, sesuatu yang memang saya minati sejak dulu.
Pernahkah anda diberitahu untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Ya, supaya saya tidak terlalu berfikir dalam situasi sosial. Kini saya sedang belajar untuk lebih tenang, hadir sepenuhnya dalam saat itu, dan tidak terlalu risau tentang bagaimana orang melihat saya.
Apakah maksud “kejayaan” bagi anda selain daripada angka dan kemasyhuran?
Bagi saya, kejayaan ialah rasa kepuasan dan ketenangan.
Apakah pengajaran terbesar yang anda pelajari tentang diri anda sepanjang tahun lalu?
Saya belajar bahawa tidak mengapa untuk berubah dan meninggalkan perkara atau orang yang tidak lagi sehaluan, termasuk versi lama diri saya sendiri. Perubahan dulu menakutkan, tetapi tahun ini saya sedar bahawa melepaskan boleh membuka ruang untuk perkara yang lebih baik.
Bagaimana proses kreatif anda berubah seiring dengan perkembangan peribadi anda?
Saya telah belajar untuk mempercayai naluri sendiri dan berkarya dari tempat yang lebih tulen dan jujur.
Isu atau perjuangan apakah yang paling dekat di hati anda ketika ini?
Isu yang paling dekat di hati saya sekarang ialah keselamatan di sekolah. Sangat menyedihkan melihat banyak insiden berlaku kebelakangan ini, dan saya rasa kanak-kanak berhak untuk berasa selamat di tempat yang sepatutnya membantu mereka belajar dan berkembang.
Apakah yang anda rasa membezakan generasi anda berbanding generasi terdahulu?
Saya rasa generasi kini lebih berani bersuara — mereka tidak takut untuk menyatakan pendapat tentang apa jua perkara.
Bagaimana anda menyeimbangkan kesedaran sosial dengan menjaga ketenangan diri?
Saya rasa keseimbangan datang daripada niat. Saya kekal peka dengan membaca, belajar, dan menggunakan platform saya secara bertanggungjawab — tapi saya juga tahu bila perlu berundur dan berehat.
Apakah perkara yang sering disalah tafsir oleh orang ramai tentang diri atau karya anda?
Saya rasa ramai menganggap apa yang saya lakukan bukan satu pekerjaan sebenar. Walaupun ia bukan pekerjaan konvensional, saya tetap menganggapnya sebagai kerja yang sah.
Apakah nasihat yang anda akan berikan kepada seseorang yang merasakan suara mereka tidak penting?
Saya akan ingatkan mereka bahawa setiap orang bermula dari bawah, dan setiap suara pasti penting selagi anda percaya pada diri sendiri.
Apa yang seterusnya untuk anda — bukan sahaja dari segi kerjaya, tetapi sebagai seorang insan?
Sejujurnya, saya masih mencari arah, tapi saya sangat teruja untuk apa yang bakal datang. Saya mahu terus berkembang secara kreatif dan meneroka peluang baharu.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Edmund Lee, Hexa Production, Penata Gaya: Erdina, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Solekan: Ahma Dani, Dandanan: Ckay Liow
Baca: #EHTOP20 Badron Munirah
