Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan sahaja dikenali sebagai pusat pendidikan tinggi yang unggul dalam bidang pengurusan dan perniagaan, tetapi juga telah melahirkan ramai graduan yang kini menonjol di pelbagai bidang, termasuk industri media dan hiburan.
Siapa sangka di sebalik gaya glamor, ada selebriti Malaysia yang sebenarnya graduan Universiti Utara Malaysia (UUM)?
Bagi selebriti-selebriti ini, pengalaman menuntut ilmu di UUM bukan sahaja memberikan mereka asas pengetahuan yang berguna, tetapi juga membentuk pemikiran kritis, kemahiran komunikasi, dan jaringan sosial yang bermanfaat dalam perjalanan seni mereka.
Senarai selebriti Malaysia yang pernah menjejak kaki di kampus Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM), dari bilik kuliah ke pentas hiburan, perjalanan mereka mengingatkan kita bahawa akademik dan seni boleh berjalan seiring, membawa inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian tanpa mengabaikan pendidikan.

Rebecca Nur Al-Islam
Pelakon Rebecca Nur Al-Islam, 39, berkongsi kesyukuran setelah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Melalui Instagram (IG), Rebecca meluahkan perjalanan hampir lima tahun dalam menimba ilmu bukan mudah apabila pada masa sama, memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada tujuh cahaya mata.
Rebecca berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada wanita terutama ibu yang berdepan cabaran hidup supaya tidak patah semangat mengejar impian serta terus yakin dengan ketentuan Allah.

Fattah Amin
Abdul Fattah Mohd Amin atau nama gelarannya Fattah Amin, antara pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memperoleh Anugerah Dekan dalam pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan dalam Ijazah Muda dengan kepujian. Fattah berkongsi bahawa dirinya tidak menyangka untuk mendapat 4 flat pada semester akhir oleh kerana dia melalui fasa yang agak sukar sekitar 2017 dimana namanya sedang memuncak naik ketika itu.

Sharifah Shahora
Sharifah Shahora melakar satu lagi kejayaan peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau yang kini berusia 51 tahun, membuktikan bahawa pendidikan tidak mengenal batas usia apabila turut meraih kepujian kelas pertama. “Syukur saya berjaya mencapai impian ini. Saya belajar sejak 2018 dan tamat pada 2022. Ia pengajian jarak jauh di Universiti Utara Malaysia,” tulisnya.

Dina Nadzir
Penyanyi juga penyampai radio, Dina Nadzir, 40, mendedikasikan kejayaan meraih anugerah Graduan Kelas Pertama program separuh masa Pace dari Universiti Utara Malaysia (UUM) buat bapanya, Allahyarham Mohd Nadzir Gulam Kadir. Menurut Dina, dalam kesibukan jadual kerjanya yang padat memanjang dia memang tidak pernah menjangkakan akan berjaya meraih anugerah Graduan Kelas Pertama berkenaan.

Pekin Ibrahim
Selepas lapan tahun menanti, termasuk tempoh pandemik Covid-19 yang menangguhkan majlis konvokesyen, Pekin Ibrahim akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-36.
Bagi Pekin, detik itu lebih daripada sekadar formaliti. “Sebelum ini, kami semua pernah berada di dewan ini untuk mementaskan Teater Muzikal Cinta Pertama untuk projek kelas kami. Tapi, pada hari ini, di dewan yang sama, kami dapat rasai suasana konvokesyen,” katanya sambil berkongsi rasa syukur.

Tomok
Tomok, yang ketika itu sedang menjayakan rancangan hiburan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), berkongsi bahawa majlis konvokesyen ini merupakan satu momen yang amat indah baginya dan rakan-rakannya dalam jurusan yang sama. “Saya bangga dan benar-benar terharu apabila dapat menggenggam ijazah ini. Ternyata segala pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak sia-sia. Tempoh lapan tahun untuk menamatkan pengajian, termasuk menunggu majlis konvokesyen selama tiga tahun, memang satu jangka masa yang panjang.”

Aril Pilus
Aril Pilus berkongsi rasa syukur dan harapannya agar kejayaannya menjadi inspirasi kepada masyarakat. “Semoga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk menjadi insan yang berilmu. Timbalah ilmu sehingga akhir hayat, kerana ilmu itu sungguh berharga,” coretnya.
Momen bahagia pada hari konvokesyen itu juga mengimbau kenangan Aril bersama abangnya, penyanyi Allahyarham Izwan Pilus. Lebih membanggakan, Aril Pilus menamatkan pengajian dengan selempang emas setelah meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) kelas pertama iaitu 3.67 dan ke atas.
