Tenaga penggerak di sebalik kumpulan tarian yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, Zeppo Youngsterz, Faris Azim berjaya menempatkan diri dalam komuniti tari global menerusi kemenangan, persembahan dan kolaborasi berprestij.
Pada skala 1 hingga 10, sejauh mana anda teruja dengan kehidupan anda sekarang?
8.
Perkara terbaik yang berlaku kepada anda tahun ini?
Saya diberi rezeki untuk mengembara hampir setiap bulan dengan mengajar, menjadi juri, menghasilkan kandungan digital dan berkolaborasi dengan idola-idola saya sendiri. Impian menjadi kenyataan apabila saya dapat mencari rezeki melalui minat yang saya cintai, sambil menyokong keluarga.
Siapakah individu yang paling banyak mempengaruhi anda semasa membesar?
Keone Madrid dari Amerika Syarikat.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Larkin Poynton, juga dari Amerika Syarikat. Beliau ialah inspirasi terbesar sejak saya mengubah hala tuju dalam dunia tari. Seni dan cara berfikirnya banyak membentuk siapa saya sebagai penari dan individu.
Bagaimana anda mengekalkan motivasi dan inspirasi diri?
Dengan melakukan perkara yang benar-benar membahagiakan saya, sentiasa mencabar diri, dan kekal terbuka untuk belajar serta berkembang.

Cara terbaik untuk berehat atau melepaskan tekanan?
Mental: Solat, meditasi, dan regangan mendalam.
Fizikal: Meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan/alami?
Memenangi lima pertandingan tari utama dunia dalam setahun, baik secara solo mahupun bersama kru. Ia perjalanan yang tidak akan saya lupakan.
Pernahkah anda diberitahu untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Not really. Saya cuba untuk kekal menjadi diri sendiri walaupun saya dalam proses untuk memperbaiki diri serta menjadi verisi diri saya yang lebih baik.
Apakah maksud “kejayaan” bagi anda selain daripada angka dan kemasyhuran?
Bagi saya, kejayaan ialah mencapai kebebasan kewangan, dapat menyokong keluarga, dan memberi kembali kepada komuniti tari.
Apakah pengajaran terbesar yang anda pelajari tentang diri anda sepanjang tahun lalu?
Untuk terus rendah hati, berhenti overthinking dan tidak terlalu ambil peduli terhadap pandangan orang. Menjaga diri sendiri membolehkan saya memberi dengan lebih tulus kepada orang lain.
Bagaimana proses kreatif anda berubah seiring dengan perkembangan peribadi anda?
Ia berkembang melalui pembelajaran berterusan bukan hanya dalam tarian, tetapi dalam kehidupan. Pengembaraan ke pelbagai negara membuka perspektif baharu yang mendalam, seterusnya mempengaruhi gerak, naratif dan cara saya bercerita melalui tarian.
Isu atau sebab apakah yang paling dekat di hati anda sekarang?
Saya komited memperkasa generasi muda melalui pendidikan tarian atau koreografi. Tarian mengajar disiplin, keyakinan, dan kerjasama, nilai yang mahu saya teruskan dalam ruang selamat untuk bakat muda berkarya dan membina jati diri.
Apa yang anda fikir membezakan generasi anda berbanding generasi sebelumnya?
Setiap generasi ada kekuatan tersendiri, namun generasi saya lebih lantang dan bersemangat mengejar minat terutamanya dalam tari. Ramai benar-benar melakukannya dengan jiwa.
Bagaimana anda menyeimbangkan kesedaran sosial dengan melindungi ketenangan diri?
Dengan dikelilingi individu yang saling menghormati dan membawa aura positif. Bila keseimbangan itu wujud, ketenangan hadir secara semula jadi.
Apakah sesuatu yang sering disalah faham tentang anda atau kerja anda?
Sesetengah orang mungkin salah faham tentang keterbukaan dalam tarian saya, terutama melibatkan kontak atau kerja berpasangan. Bagi saya, tarian adalah seni hubungan tanpa batasan.
Apa nasihat yang anda akan berikan kepada seseorang yang merasakan suara mereka tidak penting?
Terus bina kepercayaan terhadap diri dan karya anda. Bila anda berkarya dengan konsisten dan ikhlas, orang akan mula melihat, mendengar dan menghargai suara anda.
Apakah plan kerjaya anda dalam masa terdekat?
Saya berharap dapat membangunkan sebuah studio tari untuk kru dan komuniti, ruang untuk berkembang dan berkolaborasi. Secara peribadi, saya menantikan fasa baharu dalam hidup menemui cinta dan membina keluarga apabila tiba waktunya.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Edmund Lee, Hexa Production, Penata Gaya: Erdina, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Solekan: Dandanan:
Baca: #EHTOP20 Maya Letisha
