Dalam dunia tarian yang sentiasa berevolusi, nama Ezra Tham muncul sebagai antara generasi baharu yang mencorakkan landskap seni tarian Malaysia ke arah yang lebih segar dan berani. Dikenali dengan gaya koreografi yang ekspresif, terperinci dan sarat emosi, Ezra bukan sekadar seorang penari, dia ialah pencerita visual yang menggunakan tubuh sebagai medium utama untuk menghidupkan sesuatu visi.
Pada skala 1 hingga 10, sejauh mana anda teruja dengan kehidupan anda sekarang?
9! A lot of good things coming up!
Perkara terbaik yang berlaku kepada anda tahun ini?
Kejayaan MWA oleh DOLLA! Melihat begitu ramai individu dari seluruh dunia menari mengikut koreografinya merupakan satu pencapaian yang luar biasa.
Siapakah individu yang paling banyak mempengaruhi anda semasa membesar?
Rihanna, Beyoncé dan Lady Gaga antara nama yang menjadi inspirasi utama. Menonton video muzik serta persembahan mereka menyalakan keinginan untuk menghasilkan karya kreatif yang memiliki impak sama.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Parris Goebel, Kirsten Dodgen, Kyle Hanagami dan Sienna Lalau, antara koreografer yang sentiasa melahirkan visi baharu yang berani. Saya mengkaji karya-karya mereka dengan teliti dan menghargai sumbangan mereka dalam dunia tarian.
Bagaimana anda mengekalkan motivasi dan inspirasi diri?
Belajar daripada orang sekeliling dan menari bersama individu berbakat memberi rangsangan terbesar kepada proses kreatif saya. Idea terbaik selalunya hadir ketika bereksperimen bersama rakan-rakan.

Cara terbaik untuk berehat atau melepaskan tekanan?
Untuk melarikan diri daripada realiti, saya gemar meluangkan masa bermain permainan video.
Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan/alami?
Pengalaman mengembara secara solo ke Seoul selama dua minggu tanpa mengenali sesiapa menjadi cabaran tersendiri lebih-lebih lagi kerana itu kali pertama saya bercuti luar Asia Tenggara.
Pernahkah anda diberitahu untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Saya menerima kritikan, namun jika bukan daripada rakan yang benar-benar saya percayai, saya tidak terlalu memikirkannya.
Apakah maksud “kejayaan” bagi anda selain daripada angka dan kemasyhuran?
Bagi saya, kejayaan ialah apabila karya yang dihasilkan mampu menyentuh serta menghubungkan emosi seseorang, sama ada melalui kegembiraan atau inspirasi.
Apakah pengajaran terbesar yang anda pelajari tentang diri anda sepanjang tahun lalu?
Saya belajar mendengar kata hati dan juga pertimbangan akal, kerana kedua-duanya memiliki kebenaran tersendiri.
Bagaimana proses kreatif anda berubah seiring dengan perkembangan peribadi anda?
Proses kreatif saya kini lebih teratur, dan saya semakin yakin untuk mempercayai pasukan di sekeliling dalam membangunkan sesuatu projek.
Isu atau sebab apakah yang paling dekat di hati anda sekarang?
Walaupun pengaruh penari semakin diiktiraf, masih wujud cabaran apabila penari dianggap sebagai pelengkap semata-mata, sedangkan mereka memainkan peranan penting dalam menghidupkan visi sesebuah karya.
Apa yang anda fikir membezakan generasi anda berbanding generasi sebelumnya?
Saya sentiasa terdorong untuk terus menolak batas kemampuan, serta kekal terbuka untuk berhubung dan belajar daripada orang lain.
Bagaimana anda menyeimbangkan kesedaran sosial dengan melindungi ketenangan diri?
Saya cuba menjarakkan diri daripada kandungan digital di media sosial, kecuali yang benar-benar relevan, dan memilih untuk meluangkan lebih masa bersama kelompok rakan rapat.
Apakah sesuatu yang sering disalah faham tentang anda atau kerja anda?
Ada anggapan bahawa saya sentiasa yakin dengan karya sendiri. Hakikatnya, perasaan ragu itu tetap wujud, namun saya belajar menghargai usaha yang dicurahkan dalam setiap koreografi.
Apa nasihat yang anda akan berikan kepada seseorang yang merasakan suara mereka tidak penting?
Persekitaran yang positif dan dikelilingi individu yang tepat sangat penting dalam membina keyakinan terhadap suara sendiri. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, dan kesilapan adalah sebahagian daripada perjalanan.
Apakah plan kerjaya anda dalam masa terdekat?
Saya teruja untuk melebarkan sayap ke luar negara dengan berkarya, berkolaborasi dan berhubung dengan lebih ramai individu. Tarian ialah keutamaan dalam hidup saya, dan saya sedang berkembang sebagai ketua serta koreografer agar dapat menjaga pasukan dan berkembang bersama.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Edmund Lee, Hexa Production, Penata Gaya: Erdina, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Grooming: Ahma Dani, Dandanan: Miedy Daniel, Pakaian & Aksesori: COACH
Baca: #EHTOP20 Fitri Farok
