Ahli 2PM Taec-yeon, akhirnya bergelar suami kepada cinta pertamanya zaman kanak-kanak dalam sebuah majlis tertutup yang cukup eksklusif di Seoul.

Khabar gembira buat peminat K-pop apabila ahli kumpulan 2PM, Ok Taec-yeon akhirnya menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Ji-hye. Pasangan ini dilaporkan selamat berkahwin pada 24 April 2026 dalam sebuah majlis eksklusif yang berlangsung secara tertutup di The Shilla Seoul, menutup kisah cinta yang sudah terjalin lebih sedekad lamanya.
Menurut kisah yang kembali tular di media sosial, hubungan mereka bermula sejak kecil sebelum terpisah apabila Taec-yeon berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya. Walaupun terpisah jarak dan masa, dikatakan beliau masih mengingati dan pernah menyebut tentangnya beberapa kali dalam temubual dahulu.

Takdir kemudian mempertemukan mereka semula melalui sebuah program televisyen yang pernah disertai Taec-yeon beberapa tahun lalu, yang merupakan detik penting kepada penemuan kembali mereka.
Momen pertemuan menjadi bualan dan tidak dijangka, sehingga membuka jalan kepada hubungan yang lebih serius.
Walaupun begitu, pasangan ini memilih untuk kekal privasi sepanjang tempoh percintaan mereka. Hanya pada tahun 2020, hubungan mereka mula menjadi perhatian selepas beberapa gambar tular di internet mengesahkan mereka sedang bercinta. Pernah suatu ketika juga, gambar Taec-yeon melamar di hadapan Eiffel Tower terbongkar, namun dinafikan hanya sambutan harijadi.
Taec-yeon juga pernah meminta agar privasi hubungannya dihormati, sesuatu yang turut membantu mereka mengekalkan hubungan yang stabil tanpa terlalu banyak gangguan media.

Majlis perkahwinan mereka pula berlangsung secara sangat eksklusif di Seoul, dengan kehadiran semua ahli 2PM iaitu Jun. K, Nichkhun, Wooyoung, Junho dan Chansung.
Chansung turut memainkan peranan sebagai pengacara majlis, manakala ahli kumpulan lain dikatakan menyampaikan persembahan khas untuk pasangan pengantin.
Momen ini menjadi lebih istimewa disebabkan perkahwinan ini dapat menyatukan semula ahli kumpulan dalam private occasion yang penuh makna.
Kad jemputan perkahwinan pasangan ini juga mencuri perhatian peminat apabila menggunakan frasa yang merujuk kepada konsep “Two people who are a perfect 10 out of 10 to each other are finally getting married”, mengambil inspirasi daripada era debut 2PM. Dianggap sebagai simbol romantik yang menghubungkan perjalanan kerjaya dan cinta peribadi Taec-yeon.
Walaupun sudah memasuki fasa baharu kehidupan sebagai suami, Ok Taec-yeon masih aktif dalam dunia hiburan. Beliau dijangka akan muncul dalam projek lakonan akan datang, termasuk siri Netflix berjudul Soul Mate yang dijadualkan tayang pada 2026, membuktikan bahawa beliau masih kekal komited dalam kerjaya seni walaupun kini bergelar suami.


