BTS is back!
Kumpulan lelaki popular global, BTS sekali lagi mencuri perhatian peminat apabila mendedahkan senarai penuh lagu untuk album terbaharu mereka yang berjudul Arirang.
Album penuh kelima ini dijangka menjadi antara kemunculan semula (comeback) paling dinantikan tahun ini dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 20 Mac.
Menerajui album tersebut ialah lagu utama berjudul Swim. Dalam dunia K-pop, istilah title track merujuk kepada lagu utama yang dipromosikan bagi sesebuah album.
Menurut syarikat pengurusan mereka, BigHit Music, Swim merupakan lagu pop alternatif yang rancak, menggambarkan semangat ketabahan serta keberanian untuk terus bergerak ke hadapan walaupun berdepan cabaran dalam kehidupan.

Senarai lagu dalam album Arirang
Album ini menampilkan 14 lagu yang mencerminkan evolusi muzik dan perjalanan BTS sepanjang lebih sedekad dalam industri. Antara lagu yang dimuatkan ialah:
- Body To Body
- Hooligan
- Aliens
- FYA
- 2.0
- No.29 (Interlude)
- Swim (Title Track)
- Merry Go Round
- Normal
- Like Animals
- They Don’t Know ‘Bout Us
- One More Night
- Please
- Into The Sun
Album Arirang turut digambarkan sebagai refleksi perjalanan muzik BTS sepanjang 13 tahun, dengan beberapa lagu dihasilkan khas untuk para peminat mereka, ARMY.
Menariknya, para anggota turut terlibat secara aktif dalam penulisan lirik. Ketua kumpulan, RM dikreditkan dalam 13 lagu, diikuti Suga dalam 11 lagu, J-Hope dalam 10 lagu, manakala Jungkook menyumbang dalam empat lagu. V dan Jimin pula masing-masing terlibat dalam dua lagu.
Kolaborasi bersama penerbit muzik antarabangsa
Album ini juga memperlihatkan kolaborasi dengan beberapa nama besar dalam industri muzik global. Antaranya termasuk vokalis kumpulan OneRepublic, Ryan Tedder. Tedder sebelum ini pernah bekerjasama dengan artis K-pop seperti Blackpink, Tomorrow X Together serta anggota BTS, Jimin.
Selain itu, album ini turut menampilkan kolaborasi bersama DJ dan penerbit muzik terkenal Diplo, Kevin Parker dari kumpulan Tame Impala serta penerbit Australia Flume. Kehadiran barisan kolaborator hebat ini dijangka memberi warna baharu kepada bunyi muzik BTS.
Baca: ARMY Malaysia, BTS 2026 World Tour Bakal Beraksi di Kuala Lumpur!




