Berdebar? Gugup? Tetapi teruja ingin bertemu bakal mertua di hari raya?
Apabila melangkah masuk ke rumah bakal mertua, sudah tentu anda ingin meninggalkan tanggapan pertama yang baik.
Tambahan pula, kunjungan ketika Hari Raya juga merupakan peluang untuk anda mengenali budaya dan cara hidup keluarga pasangan dengan lebih dekat.
Ambil hati bakal mertua, barulah mudah terpikat! Ini 7 tip mudah yang boleh anda praktikkan ketika berkunjung ke rumah mereka pada Hari Raya.
1. Manis di mata
Pilih pakaian yang sopan dan sesuai dengan suasana Hari Raya. Lelaki boleh memakai kurta, baju Melayu atau baju batik, manakala perempuan pula digalakkan memakai baju kurung yang longgar dan manis dipandang. Penampilan yang kemas dan sopan boleh memberikan tanggapan pertama yang baik kepada bakal mertua.
2. Bawa buah tangan
Jangan datang dengan tangan kosong!
Bawa sedikit buah tangan seperti kuih raya, kek, buah-buahan atau apa sahaja yang sesuai. Jika ada masa, anda juga boleh memasak sendiri sesuatu hidangan. Usaha kecil ini biasanya sangat dihargai oleh tuan rumah.
3. Bual bicara tentang topik yang disukai mertua
Cuba mulakan perbualan dengan topik ringan atau perkara yang diminati oleh bakal mertua seperti makanan, hobi, keluarga atau pengalaman sambutan Hari Raya mereka. Perbualan yang ‘ngam’ boleh membantu menceriakan suasana.

4. Hulurkan bantuan
Jika melihat bakal ibu mertua sibuk di dapur atau menguruskan tetamu, tawarkan diri untuk membantu. Walaupun bantuan kecil seperti menghidang makanan atau mengangkat pinggan, ia menunjukkan anda seorang yang ringan tulang.
5. Jaga adab ketika makan
Ketika menikmati hidangan, pastikan anda menjaga adab seperti tidak mengambil makanan secara berlebihan, makan dengan sopan dan paling penting, memuji masakan tuan rumah.
6. Bersikap ramah dengan ahli keluarga lain
Bukan sahaja dengan bakal mertua, anda juga digalakkan bertegur sapa dengan ahli keluarga lain seperti pak cik, mak cik dan sepupu pasangan. Sikap mesra akan membuatkan anda lebih mudah diterima dalam keluarga tersebut.
7. Elakkan terlalu bermain telefon
Walaupun telefon pintar sentiasa di tangan, cuba hadkan penggunaannya ketika berada di rumah bakal mertua. Beri perhatian kepada perbualan dan suasana sekeliling supaya anda dilihat lebih menghargai masa bersama mereka.
