UNIQLO mengumumkan kolaborasi terbaharu bersama pereka fesyen wanita dari Denmark, Cecilie Bahnsen. Dikenali dengan estetik feminin dan romantik yang sudah menjadi identiti, Cecilie membawa sentuhan kontemporari tetapi malar segar menerusi koleksi musim bunga/panas 2026 yang diolah dalam stail gaya harian.

Membawakan tema “Shapes of Poetry”, himpunan ini menggabungkan elemen pembuatan dan rekaan eksklusif Cecilie Bahnsen dengan DNA LifeWear UNIQLO yang terkenal dengan keselesaan dan material berkualiti tinggi.
Diasaskan pada tahun 2015 di Copenhagen, label Cecilie Bahnsen terkenal dengan gabungan minimalis Scandinavia dan sentuhan couture yang menghasilkan siluet dreamy tetapi moden. Dengan lebih 125 stokis di seluruh dunia, jenama ini terus mencuri perhatian pencinta fesyen global menerusi rekaan yang delicate, romantik dan penuh perincian.
Kejayaan Cecilie dalam industri fesyen turut mendapat pengiktirafan besar apabila beliau tersenarai dalam BOF 500 pada tahun 2023 sebagai antara figura paling berpengaruh dalam dunia fesyen. Sebelum itu, beliau juga pernah menerima pencalonan untuk anugerah berprestij LVMH Prize serta memenangi Magasin du Nord Fashion Prize.
Berkongsi tentang kolaborasi ini, Cecilie berkata, “saya sangat gembira dapat kolaborasi dengan UNIQLO buat pertama kali. Saya sentiasa mereka pakaian yang boleh dipakai, dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Samalah seperti konsep LifeWear UNIQLO. Saya teruja kerana koleksi ini dapat dikongsi bersama wanita dan gadis di seluruh dunia.”
Dia juga menyifatkan penghasilan kempen bersama Maria dan Louise Thonfeldt sebagai sesuatu yang cukup istimewa kerana mereka berjaya membawa semangat sisterhood yang menjadi identiti utama Cecilie Bahnsen.

Sementara itu, Yukihiro Katsuta, Senior Executive Officer Fast Retailing Group dan Head of R&D UNIQLO berkata pertemuan pertamanya dengan Cecilie berlaku sekitar pembukaan stor pertama UNIQLO di Copenhagen pada tahun 2019.
“Saya terus tertarik dengan pendekatan craftsmanship Cecilie dan berharap suatu hari nanti kami dapat menghasilkan sesuatu bersama. Tujuh tahun kemudian, impian itu akhirnya menjadi kenyataan menerusi kolaborasi ini.”

FEMINI MODEN UNTUK GAYA HARIAN
Identiti utama Cecilie Bahnsen diterjemahkan menerusi motif floral ikonik, siluet bervolum serta perincian frills dan shirring yang cukup playful. Koleksi ini menampilkan pelbagai pilihan dress, top dan skirt dengan detail standout yang boleh digayakan secara solo ataupun sebagai matching set.
Lebih menarik, setiap helaian turut memberi fokus kepada keselesaan dengan penggunaan fabrik kapas premium dan material elastik yang selesa dipakai sepanjang hari.
Kolaborasi ini juga menjadi lebih istimewa apabila Cecilie memperkenalkan koleksi pertama untuk kanak-kanak perempuan. Sebagai seorang ibu, beliau sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap childrenswear, dan ia diterjemahkan menerusi rangkaian khas yang cute tetapi praktikal.
Koleksi girls line ini hadir dengan pilihan dress, T-shirt dan skort yang diinspirasikan daripada rekaan dewasa untuk momen matching outfit ibu dan anak. Direka untuk keselesaan harian, skort tersebut turut dilengkapi adjustable waist serta poket di kedua-dua sisi.
Koleksi penuh UNIQLO x Cecilie Bahnsen ini akan mula dijual di empat stor terpilih UNIQLO Malaysia iaitu Fahrenheit88, The Exchange TRX, 1 Utama Shopping Centre dan Mid Valley Megamall, serta secara dalam talian UNIQLO.








