Oleh: Farhana Fuad
Sebulan Syawal pastinya banyak rumah terbuka yang perlu dihadiri demi menjaga hubungan silaturrahim. Namun, sewaktu menghadiri rumah terbuka, haruslah kita menjaga segala adab dan tatasusila agar tidak mengundang sebarang masalah atau berburuk sangka antara satu sama lain.
Jadi, EH! senaraikan adab yang perlu kita jaga ketika mengunjungi rumah terbuka.
1. Memberi salam dan bersalaman
Memberi salam itu adalah lebih baik dari tanpa sebarang kata pembuka bicara dan terus menghadap makanan. Ianya lebih sopan dan menjaga imej baik diri kita. Bersalaman juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kalian dengan lebih akrab.
2. Meminta izin untuk masuk
Sebelum melangkah masuk ke kediaman empunya rumah, minta izin terlebih dahulu. Tidak kira jika mereka adalah kenalan rapat kalian atau tidak kerana ianya demi menjaga adab kesopanan ketika menghadiri rumah terbuka.
3. Memendekkan tempoh ziarah
Adalah lebih elok jika tempoh ziarah di rumah terbuka di pendekkan sedikit agar tetamu lain turut boleh hadir dan makan dengan selesa. Sememangnya kalian dan tuan rumah agak rapat, tetapi mungkin boleh bawa ke hari lain untuk berborak santai agar sesi rumah terbuka tersebut lebih berjalan lancar.
4. Merendahkan suara
Biarpun anda sudah biasa di kediaman rumah sahabat rapat anda, tetapi jangan sampai mengganggu ketenteraman tetamu lain dek kerana volume suara dan gelak tawa anda yang cukup menarik perhatian ramai.
Gambar: INGimage
5. Duduk dan makan dengan sopan
Bukan hanya tutur kata yang perlu dijaga, tetapi juga cara kita duduk dan makan. Ini kerana tetamu lain akan turut menuding jari kepada tuan rumah jika menjemput seseorang yang tidak langsung menjaga peradaban di kediaman milik orang.
6. Meminta izin untuk beransur pulang
Sudah datang dijemput, jadi sekurang-kurangnya sewaktu pulang itu bersopanlah sedikit dengan memberitahu kepada tuan rumah yang anda ingin beransur pulang. Ini demi memastikan tuan rumah tidak terasa hati dengan anda. Lebih menyedapkan hati, berikan kata-kata pujian dan terima kasih kepada juadah serta jemputan dari tuan rumah.