Oleh: Farhana Fuad
Gambar: SK-II
Berakhir sudah pertandingan yang ditaja oleh SK-II dalam mencari pencipta kecantikan dari segi digital. Jane Makeup yang berasal dari Bangkok berjaya mengalahkan 21 orang finalis yang lain dengan membawa pulang mahkota Beauty Bound Asia yang ditampilkan oleh jenama produk kecantikan terkenal SK-II menerusi laman web Youtube.
Juara bukan hanya pulang dengan membawa gelaran sebagai Asia’s Next Top Beauty Creator, malah Jane Makeup turut membawa pulang hadiah bernilai 10,000 dolar US termasuklah produk kecantikan dari jenama SK-II, trip yang dibiaya penuh ke Tokyo dan kota New York, barangan kamera. Bahkan, Jane Makeup turut berpeluang untuk belajar dan berkolaborasi bersama pencipta kecantikan terkenal di dunia termasuklah Michelle Phan.
“Saya memilih Jane Makeup sebagai pemenang kerana dia sememangnya layak dan sentiasa maju ke hadapan dengan semua video yang dia hasilkan. Apa yang saya dapat lihat jika seseorang mampu berbuat demikian, ianya adalah lebih dari setakat bakat yang ada. Mereka benar-benar pencipta seakan pengarah, pelakon dan apabila saya melihat seseorang yang begitu berkebolehan, bagaimana gigih mereka menjayakannya, ianya berbeza daripada pencipta kecantikan yang berjaya dan seorang pencipta yang hanya mahukan ianya untuk populariti dan duit,” ujar Michelle Phan.
Soraya, atau lebih dikenali di laman web Youtube Jane Makeup telah mempelajari makna sebenar untuk menjadi pencipta kecantikan serta bagaimana caranya untuk memastikan dirinya menghasilkan perkara yang tidak pernah dia berani lakukan sebelum ini dan terus memperbaiki dirinya sendiri.
Bagi Soraya, pencipta kecantikan bukan seperti selebriti yang tampil di muka television kerana pencipta kecantikan tidak mempunyai sebarang skrip. Malah pencipta kecantikan menyatakan segalanya terus dari hati. Soraya memastikan dirinya agar sentiasa menjadi yang jujur, dan boleh memastikan kaitannya dengan penonton. Soraya sudah menjadi pencipta kecantikan selama dua tahun dan dia berharap dia akan terus melakukan apa yang dia sukakan dan mencipta lebih banyak video.
Dua finalis dari Malaysia juga turut berpeluang untuk ke peringkat akhir di Tokyo. Kedua-dua mereka adalah Charis Ow, 24 tahun dan Mayjune Tan, 31 tahun. Charis merupakan seorang pencinta fesyen dan kecantikan. Dia suka untuk menjadi pencipta kecantikan apabila melihat ramai orang yang menghargai hasil kerja dan sekaligus melihat penontonnya memberitahu yang dia telah membantu mereka dalam pelbagai perkara.
Mayjune Tan pula merupakan pencipta kecantikan dari Malaysia yang mengklasifikasikan stail kecantikannya sebagai simple dan mudah untuk diaplikasikan setiap hari. Dia suka menghasilkan video kerana dia gemar untuk berkongsi maklumat, lebih-lebih lagi berkenaan kecantikan.
Tonton video pemenang Beauty Bound Asia, Jane Makeup ketika hari kemenangannya di Tokyo untuk Beauty Bound Asia di bawah.