Oleh : Farhana Fuad
Gambar: Instagram Lara Alana
Sebenarnya, niat mereka ini sudah lama terpendam tetapi terpaksa ditangguhkan atas sebab komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan. Pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari turut meluahkan rasa syukurnya apabila impian mereka ini tercapai juga.
“Jadual kerja yang padat menjadi antara faktor yang membuatkan impian kami untuk menunaikan umrah tertangguh. Alhamdulillah, tahun ini semuanya berjalan dengan lancar dan segala perancangan kami seperti dipermudahkan. Jadi, tiada alasan lagi untuk kami menangguhkannya. Kami bakal menunaikan umrah bersama anak, Lara Alana dan ahli keluarga yang lain bermula 12 hingga 22 Jun ini. Kebetulan ada slot kosong untuk kami sekeluarga merasai nikmat berpuasa di Tanah Suci. Bertuah rasanya dapat peluang itu,” kata pasangan ini kepada Berita Harian Online.
Pada mulanya, Awal dan Scha masih teragak-agak untuk membawa Lara bersama ke sana dek kerana umur Lara yang masih kecil untuk mengikuti perjalanan jauh.
Tetapi dek kerana takut merinduinya dan tidak sampai hati meninggalkan Lara begitu jauh, Awal dan Scha bersetuju untuk membawa Lara bersama ke Kota Mekah diikuti dengan penjaga Lara demi melancarkan urusan umrah mereka di sana nanti.
Baru-baru ini, Scha, Awal dan Lara selamat melancarkan kolaborasi koleksi raya mereka bersama gedung pakaian terbesar iaitu Jakel. Jenama yang dibawa oleh pasangan selebriti ini diberi nama Schawalara. Ia menampilkan koleksi pakaian buat Aidilfitri tahun ini.