Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Fara Fauzana
Sebelum ini Fara Fauzana telah mengadakan sidang media untuk mengumumkan perancangan pernikahannya yang dijadualkan pada 17 September. Namun kali ini, bekas penyampai radio Hot FM ini mengumumkan bahawa hasratnya itu dibatalkan.
Menerusi kenyataan rasmi dari Fara, dia memaklumkan bahawa keputusan untuk membatalkan rancangan pernikahannya bersama seorang ahli perniagaan yang bernama Hafiz dibuat atas sebab-sebab yang sangat peribadi.
Bagi Fara, ia adalah satu keputusan yang amat sukar dan berat baginya. Namun, setelah berfikir akan perkara tersebut dengan sedalam-dalamnya berserta perbincangan bersama ibu bapanya dan pihak keluarga terdekat, keputusan membatalkannya adalah jalan yang terbaik.
Gambar : Instagram Syed Faizal Syed Noh
Selain dari itu, Fara turut berdoa memohon petunjuk dan hidayah bagi memberikannya jalan yang terbaik untuk dirinya pilih buat kehidupannya akan datang.
“Sesungguhnya saya yakin bahawa apa yang berlaku ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT dan tentu sekali ada hikmah yang menanti,” jelas Fara menerusi kenyataan media yang dibuatnya.
Fara dalam masa yang sama berharap yang kenyataan yang diberikan ini dapat menjelaskan pertanyaan ramai dan segelintir pihak media yang telah dapat menghidu akan berita sebegini. Dirinya juga berharap untuk diberikan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran selepas situasi yang berlaku ini.
Semoga Fara Fauzana diberikan kekuatan dan tabah untuk melalui dugaan berat ini.