Tak ramai tahu yang posisi tidur ini main peranan dalam masalah kesihatan tubuh. Ketahui posisi tidur yang baik untuk atasi penyakit.
Gambar : Shutterstock
Pernah tak anda bangun dari tidur dan terus mengalami sakit belakang atau mungkin sakit di bahagian tengkuk? Ketahuilah yang ia sebenarnya berpunca daripada posisi tidur anda sendiri. Cara dan gaya anda tidur sebenarnya memainkan peranan dalam masalah kesihatan tubuh.
EH! senaraikan posisi tidur yang baik untuk atasi masalah kesihatan.
Sakit Belakang
Trik untuk atasi sakit belakang adalah dengan memastikan posisi tulang belakang berada dalam lengkuk yang semula jadi. Cara terbaik adalah dengan berbaring atau mengiring dengan sebiji bantal yang diletakkan dengan kedudukan strategik untuk melegakan tekanan pada bahagian bawah tulang belakang. Majoriti ramai lebih selesa dengan meletakkan sebiji bantal di bahagian belakang lutut atau di antara kedua-dua belah lutut jika mengiring.
Sakit Tengkuk
Reka bentuk bantal yang betul boleh memastikan yang kedudukan kepala anda sama tinggi dengan bahu dan dalam masa yang sama ia mengurangkan sakit tengkuk ketika tidur. Sebaiknya, cari bentuk bantal yang direka selesa dengan anda. Pastikan ia tidak membuatkan kedudukan leher anda ke atas mahupun ke bawah.
Kedutan Pada Wajah
Kekerapan tidur pada posisi mengiring boleh menyebabkan masalah kedutan pada wajah. Tidak kira sama ada mengiring ke sebelah kanan atau pun kiri. Kedua-duanya bergantung pada kecenderungan masing-masing dan kedua-duanya juga menjadi punca wajah cepat melalui proses berkedut. Tidur dengan posisi berbaring boleh mengelakkan kulit wajah bersentuhan atau bertindih terlalu lama di atas bantal.
Jerawat
Sarung bantal atau cadar tilam anda boleh memerangkap minyak dari kulit dan ini menyebabkan masalah jerawat. Sebaiknya, cuci cadar dan sarung bantal setiap minggu sekali. Anda akan rasa lebih selesa dan lebih mudah untuk tidur. Namun jika anda rasa yang ia agak sukar untuk anda mencucinya setiap minggu, elak meletakkan kulit wajah anda bergeseran dengan sarung bantal yang memerangkap banyak bakteria.
Dengkur
Jika pasangan anda mengadu tidak selesa tidur dek kerana masalah berdengkur yang anda hadapi, cuba tidur dengan posisi mengiring. Cuba gunakan dua atau tiga biji bantal ketika tidur untuk membantu melancarkan peredaran oksigen dalam tubuh.