Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Dubai Tourism
Bulan Mei lalu, pasangan selebriti sama cocok sama padan, Akim Ahmad dan Stacy Anam telah terbang ke destinasi ke-4 di dunia yang kerap menjadi pilihan ramai untuk berkunjung pada tahun 2015 yang terletak di Timur Tengah iaitu Dubai.
Akim dan Stacy akui yang percutian mereka sungguh menyeronokkan. Biarpun hanya empat hari tiga malam, pasangan ini cukup menikmati percutian romantika mereka sepenuhnya.
“Percutian berbulan madu kami sungguh menyeronokkan. Kami dapat bertemu dengan penguin, berenang dengan dolfin, melawat Aquarium Dubai dan Zoo Bawah Air di Dubai Mall dan membeli-belah di pasar tradisional untuk mencari abaya dan makanan tradisional Timur Tengah. Kami benar-benar menghargai layanan mesra masyarakat Dubai dan kami agak terkejut dengan kos aktiviti dan harga produk yang mampu ditanggung,” kata Stacy.
Menurut Akim pula, dirinya cukup tertarik dengan Dubai yang mana sebuah bandar moden dan kaya tetapi masih menetapkan ciri-ciri tradisional dan asli. Tidak kira dari segi budaya, pakaian, lokasi patut di lawat dan aspek lain-lain.
“Saya tertarik melihat bagaimana sebuah bandarraya moden seperti Dubai juga mempunyai aspek tradisional dan asli yang boleh ditawarkan. Pemandangan matahari terbenam di padang pasir sungguh indah dan pengalaman merentas gunung pasir benar-benar menyeronokkan dan belum pernah kami alami sebelum ini. Pemandangan dari dek pemerhati bangunan paling tinggi di dunia, Burj Khalifa, memang menakjubkan – kami dapat melihat keindahan landskap Dubai hingga sejauh Palm Island!”
Pabila ditanya adakah mereka akan kembali ke Dubai lagi, Akim menjawab “Sudah tentu kami akan melawat Dubai pada masa akan datang. Terdapat banyak tarikan yang pasti digemari oleh seisi keluarga, terutama sekali keluarga yang mempunyai anak-anak.”
Percutian bulan madu Akim dan Stacy dijayakan oleh Dubai Tourism dan Amar Travel. Dengan pakej percutian hanya RM1,975 ke atas, anda boleh realisasi percutian romantika bersama tersayang di Dubai bak pasangan selebriti ini.
Akim dan Stacy selamat diijabkabulkan pada 5 Februari lalu di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Sabah.
EH! kongsikan gambar-gambar percutian bulan madu Akim dan Stacy di Dubai