Oleh : Farhana Fuad
Filem dari negara seberang yang dinantikan ramai peminatnya tidak kira dari Indonesia, Malaysia mahupun serantau Asia, iaitu Ada Apa Dengan Cinta 2 bakal ditayangkan secara serentak di tiga negara Indonesia, Malaysia dan Brunei Khamis ini.
Tayangan perdana yang sudah dilangsungkan dengan penuh kehangatan dan dibanjiri para media ternyata membuktikan yang filem sambungan Ada Apa Dengan Cinta (2002) ini merupakan sebuah filem yang ditunggu-tunggu sejak 14 tahun lalu lagi.
Selalunya, ibu kota Jakarta menjadi pilihan untuk tayangan perdana mana-mana filem di sana, tetapi bagi pengarah filem AADC2 ini, Riri Riza memilih untuk melangsungkannya di Kota Gudeg merupakan lokasi penggambaran utama AADC2.
“Filem-filem saya bersama Mira Lesmana (produser) selalu diputar di Jakarta. Tetapi kali ini kami ingin suasana baru, yang lebih dinamis dan lebih berinteraksi,” ujar pengarah filem AADC2 kepada media tempatan Indonesia di Yogyakarta.
Gambar : EH!
Ketika berlangsungnya sesi sidang media sejurus selepas tayangan perdana di Malaysia yang mengambil tempat di Cathay Cineplexes E-Curve malam tadi, Riri turut menyatakan yang mereka tiada sebarang perancangan untuk sambungan filem AADC pada tahun 2002.
“Empat belas tahun sebenarnya agak lama kerana memang pada awalnya tidak ada perancangan untuk melanjutkan cerita dari Rangga dan Cinta ini. Kami menganggap bahawa sebuah solusi dari kisah itu boleh terjadi tidak kisah sama ada di dalam layar dan atau juga di luar layar. Tetapi yang pasti ada aura yang kuat dari Ada Apa Dengan Cinta terhadap kami. Dian, Nicholas, Adinia Wirasti, Titi Kamal, Sissy Prescillia, dan teman-teman yang lain masih akrab seperti sahabat. Kami juga pernah bekerjasama di dalam beberapa filem lain juga. Dan kenangan dari Ada Apa Dengan Cinta itu tidak pernah hilang. Lebih kurang 10 tahun selepas itu, kami pernah mengadakan sebuah reunion kecil dan filem AADC kami tayangkan kembali di Jakarta (edisi terhad) dan dari situ kami dapat respon yang sangat menarik terutama dari semua yang memainkan watak dalam filem itu. Dari situlah bermulanya perancangan kami untuk membuat sambungan Ada Apa Dengan Cinta 2,” kata pengarah terkenal di tanah Indonesia ini.
Tambahnya lagi, pada ketika ini usia Rangga dan Cinta seakan sudah mencecah di akhir 20-an yang mana ia satu waktu yang paling sesuai untuk melanjutkan sequel filem pilihan ramai ini.
Turut hadir di majlis tayangan perdana di sini adalah barisan pelakon termasuklah Dian Sastrowardoyo (Cinta), Nicholas Saputra (Rangga), Adinia Wirasti (Karmen), Titi Kamal (Maura) dan Sissy Prescillia (Milly). Penyanyi dan penulis lagu serta runut untuk AADC dan AADC2 Melly Goeslow turut tampil bersama ke tayangan perdana ini ditemani suaminya.
Namun, Ladya Cheryl yang memainkan watak sebagai Alya di dalam AADC tidak lagi bersama dalam sekuel ini atas sebab dirinya sedang sibuk menyambung pelajaran di Amerika Syarikat. Menurut Mira Lesmana (produser), Ladya bercita-cita mahu menjadi seorang sutradara dan disebabkan itu dirinya mengambil langkah untuk tidak lagi berlakon dalam sambungan kali ini.
Mereka memahami keputusan Ladya dan sangat menyokongnya dari belakang. Atas keputusan itu, pihak penggambaran AADC2 bersetuju untuk tidak menggantikan watak Alya dalam AADC dengan sesiapa pun atas niat murni Ladya itu.
Pabila ditanya kepada produser AADC2 ini, Mira menjawab dengan sejujurnya mereka suka dengan pembikinan filem ini.
“Personally, I love this film.”
Tetapi menurutnya lagi, ia terpulang pada respon penonton untuk menilai AADC2 yang bakal mula ditayangkan bermula 28 April ini.
Gambar : EH!
EH! sempat bertanya pada pelakon kacak AADC2, Nicholas Saputra adakah dirinya suka digandingkan bersama Dian Sastrowardoyo.
“Who’s said that?” jawab Nicholas tertawa kecil.
“Ya, sudah semestinya. Maksud saya, bekerja dengan Dian is great. Dalam AADC, kami dan rakan-rakan lain punya keakraban yang sangat rapat dan kami saling memahami antara satu sama lain. Kami berkongsi spirit yang sama, berlakon dan bekerja untuk menghasilkan sebuah filem yang bagus,” ujarnya.
Pabila ditanya menjangkakan yang dirinya bakal diangkat lagi sebagai watak utama di dalam filem sambungan ini, “Tidak. Saya tidak menjangkakan yang saya akan bekerjasama atau berpeluang untuk penghasilan filem sambungan AADC2. Saya tiada sebarang informasi atau sebarang jangkaan.”
[soliloquy slug=”aadc2-2″]“It’s a great pleasure to work together with the crew and the actors also. Yes it’s easy but i’m not saying it’s hard. For me, there’s no difficulties to bring back the character of Rangga,” jawab Nicholas spontan ketika EH! bertanyakan adakah sukar untuknya membawa kembali watak Rangga untuk sambungannya kali ini selepas 14 tahun.