Scha Alyahya dan fesyen adalah dua hal yang sering dilihat seiring. EH! menemubual Scha, berbicara tentang pengalamannya melengkapkan koleksi Bonia X Scha.
Bagai irama dan lagu, begitulah juga hubungan antara ibu kepada dua cahaya mata ini dengan fesyen, sukar dipisahkan. Malah tidak salah andai meletakkan Scha Alyahya sebagai ikon fesyen masa kini yang sentiasa dijadikan rujukan. Jadi, apabila Bonia memilih Scha untuk kolaborasi fesyen terbarunya bagi saya ini adalah satu langkah yang sangat tepat. Himpunan yang mula dilancarkan pada bulan April lalu menawarkan pelbagai rekaan beg tangan, sepatu dan juga skarf.
Boleh ceritakan tentang bagaimana kolaborasi ini terjalin?
Sebenarnya idea untuk kolaborasi ini sudah bermula sejak tahun lepas, Bonia sendiri datang melamar dan Scha ambil masa sebelum bersetuju untuk kolaborasi ini. Walapun sering bekerjasama dengan label antarabangsa untuk projek-projek di sini tapi Scha memang akan terbuka untuk bekerjasama dengan jenama kita. Scha memang mahu menyokong jenama-jenama kita sendiri. Selepas beberapa tahun melancarkan koleksi kolaborasi dengan jenama lokal beberapa tahun lalu, jadi bagi Scha peluang bekerjasama dengan Bonia datang dalam waktu yang sesuai.
Sebelum ini, apa yang Scha ingat tentang Bonia?
Bonia bukan satu jenama yang asing bagi kita, Scha dah kenal Bonia sejak kecil lagi sebab jika kita lihat dulu Bonia memang cukup popular di kalangan emak-emak kita. Sasarannya lebih kepada kelompok yang lebih matang. Berbeza dengan hari ini, Bonia cuba mengubah landskap pasarannya, ia lebih pelbagai, terkini dan sesuai dengan pembeli muda. Dan itu juga antara factor mengapa Scha tertarik untuk bekerjasama dengan mereka.
Boleh ceritakan tentang inspirasi himpunan ini?
Bila kita dah setuju untuk bekerjasama, Scha dan team Bonia sama-sama melihat rekaan-rekaan lama Bonia untuk dijadikan inspirasi selain kita cuba menjadikan corak pembuatan aksesori di Itali sebagai inspirasi. Ropol-ropol pada beg tangan Adjani misalnya adalah inspirasi daripada tanga-tangan di Tuscany.
Artikel Berkaitan: Simbolik Nama Puteri Kedua Scha Alyahya & Awal Ashaari
Bagaimana pula dengan pemilihan nama-nama koleksi ini?
Ideanya mahu menggunakan nama-nama wanita kerana saya mahu koleksi ini sebagai satu koleksi yang empower mana-mana wanita yang menggayakannya. Saya ada gunakan nama Alana dan juga Kalsom, Ummi dan banyak lagi.
“Nama Raha pula adalah nama yang saya suka, ingat mahu namakan anak kedua saya dengan nama Raha tapi Awal tak mahu,” jawab Scha tertawa.
Yang mana satu kegemaran Scha?
Sukar sebenarnya untuk memilih satu, Scha suka beg tangan Adjani kerana beg ini boleh dipelbagaikan cara penggayaannya, boleh dijinjit, disandangkan pada bahu juga boleh dijadikan seperti bet kepit atau clutch.