Oleh Hafizan Mohd
Bakat tempatan dalam bidang muzik sebetulnya tidak pernah sunyi dengan karya-karya baru dengan kualiti tersendiri. Berikut tiga album yang EH! cadangkan buat halwa telinga anda.
YUNA – NOCTURNAL
Universal Music
Debut Amerika Syarikat pertama bintang kelahiran Malaysia ini harus dibanggakan. Muzik Yuna tidak lari daripada landasan yang kita semua kenal dan suka. Masih kekal dengan signature muziknya yang cukup melodious tetapi tetap menyelitkan elemen muzik semasa dengan beat yang membantu memberi justifikasi buat setiap lagu. Album ini dibuka cukup sedap dengan melodi mid tempo Falling yang hadir dengan groove dan feel yang baik. Secara peribadi saya memilih Rescue, Someone Who Can, Colors dan Mountains sebagai trak terbaik buat album ini.
ALIF SATAR – DEFINISI
Sony Music
Alif penyanyi yang bagus sebenarnya. Suaranya cukup membuatkan setiap trak pop yang didendang sedap didengar. Saya sedikit teruja dengan album ini kerana trak Kerna Dia. Saya sifatkan sebagai trak terbaik yang pernah dirakam Alif begitu juga dengan trak balada Kesempatan Kedua. Nona Jakarta trak yang baik dengan lirik yang catchy cuma jika diberi lebih perhatian pada susunan muzik yang lebih lively ia mampu menjadi naskah yang lebih sedap. Album ini harus diberi peluang oleh semua pihak baik radio, pendengar dan media kerana ia sebuah naskah yang baik.
NING BAIZURA – KEKAL
Universal Music
Diva pop ini tampil dengan album rakaman semula lagu-lagu hit yang banyak menaikkan namanya dalam industri muzik tempatan. Kekal turut menampilkan tiga lagu terbaru antaranya Bukan Wanita Sempurna yang cukup sedap komposisinya. Penghayatan Ning memukau dan mengingatkan saya pada kehebatan trak Awan Yang Terpilu yang pernah dirakam dulu. Bait “Aku bukan wanita sempurna, aku pasti adalah kurangnya” cukup dirasai dengan lontaran vokalnya yang penuh emosi. Dugaanku, Ke Sayup Bintang dan Penjara Kasih hadir dalam susunan muzik yang baru dan cukup impresif.