Diakui antara selebriti generasi baru yang hadir dengan pakej yang lekap. Kejelitaannya seiring bakat dan dia dikelaskan sebagai ‘beauty with brain’ oleh peminatnya. EH! secara istimewa menemu ramah Lisa Surihani untuk berkongsi rahsia kecantikannya.
Kongsikan rejim penjagaan kulit wajah Lisa setiap hari.
Seperti rejim normal, saya memastikan wajah dicuci bersih, penyegar wajah, pelembap, serum dan juga krim siang dan malam. Saya mempunyai masalah pori di kawasan T-zone wajah. Penting untuk memastikan wajah bersih sebelum tidur bagi mengelakkan masalah wajah yang lebih besar.
Rahsia anda kekal tampak muda?
Secara jujur, saya adalah individu yang manja dengan keluarga dan suami. Saya suka hidup dalam aura positif. Elak perasaan dengki atau kehidupan yang menyebabkan stres dan memberi kesan kepada psikologi.
Apakah kosmetik atau alat solek wajib setiap kali bersolek?
Saya tidak begitu suka mengenakan solekan, melainkan ketika menghadiri majlis anugerah atau formal. Untuk hari-hari biasa, saya menggunakan krim CC untuk melindungi kulit daripada panahan cahaya matahari. Selain itu, olesan nipis maskara dan gincu sudah memadai.
Selain menjaga kecantikan luaran, apa lagi yang anda lakukan untuk keperluan dalaman?
Kecantikan semestinya bermula daripada dalaman. Justeru, penjagaan oral adalah penting di mana ia mengelakkan penyakit dan memberi keyakinan ketika di khalayak ramai. Saya sentiasa memberus gigi, flos dan juga menggunakan cecair kumur untuk nafas segar dan bersih.