Redha, sebuah filem sedih berkisahkan hubungan seorang bapa dan anaknya yang menghidap penyakit autisme, bertarung dengan kehidupan serta kondisi anaknya. Biarpun jumlah kutipan filem tersebut sekadar mencecah RM500,000 sahaja, namun kualiti yang ditonjolkan menyebabkan Redha dipilih mewakili Malaysia untuk menyertai Oscars 2017.
Filem arahan Tunku Mona Riza dan diterbitkan oleh Current Pictures Sdn.Bhd ini bersaing dengan filem-filem luar negara yang lain dalam mendapat tempat untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.
Ia dipilih sendiri oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Acara berprestij dunia ini dijadualkan bakal berlangsung pada 26 Februari 2017.
Filem tempatan lain yang juga pernah mewakili Negara untuk dicalonkan di dalam Oscars termasuklah filem Puteri Gunung Ledang (2005), Bunohan (2013) dan Lelaki Harapan Dunia (2015).
Antara bintang filem Redha ini adalah Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Susan Lankester, Harith Haziq dan Izzy Reef. Sebelum ini, Redha turut pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan June dan Anugerah Khas Juri ketika di World Premiere Film Festival 2016 di Manila.
Anugerah lain termasuklah Anugerah Merit di Los Angeles Awareness Film Festival 2016, Special Prize for Humanism in Cinematography dicalonkan oleh the President of Tatarstan, Special Prize of the Russian Guild of Cinema Critics dan anugerah Aktor Terbaik dalam filem panjang iaitu Nam Ron, Harith dan Izzy di 12th Kazan International Muslim Film Festival 2016.
Redha juga akan mewakili Malaysia untuk Fourth Casa Asia Film Week di Barcelona, Sepanyol dan 10th Asia Pacific Screen Awards di Brisbane, Australia bulan hadapan.