Ramai yang masih sangsi mengenai pemilikan kad kredit.
Ada yang mempersoalkan adakah kad kredit itu benar memberi kebaikan seperti tertera dalam iklan atau hanya mendatangkan masalah besar seperti bankrap. Realitinya, tidak salah untuk mempunyai kad kredit selagi penggunaannya dikawal dan digunakan atas dasar keperluan dan bukan kehendak.
1. ‘Penyelamat’ ketika kecemasan
Wang tunai tidak selalu berada di dalam poket dek kesempitan masa untuk ke mesin tele automatik (ATM). Justeru, kad kredit membolehkan anda membuat pembayaran tanpa memerlukan wang tunai. Contohnya sewaktu kecemasan yang memerlukan anda ke hospital dalam kadar segera. Hanya leretkan kad tanpa perlu bersusah payah untuk ke ATM.
2. Gunakan untuk ganjaran
Apa yang anda belanjakan akan diberi mata ganjaran terkumpul yang membolehkan anda mendapat pulangan menarik. Contohnya, perlindungan insurans untuk anda sekeluarga, hadiah promosi seperti telefon bimbit dan pakej percutian serta pelbagai lagi hadiah menarik.
3. Selamat
Kad kredit yang juga dikenali dengan panggilan wang plastik lebih selamat dibawa kerana pengguna tidak lagi perlu membawa wang tunai bersama. Jika ada kes kecurian, pengguna boleh membuat laporan ke syarikat kad kredit tersebut dan serta merta segala transaksi akan dibatalkan. Kad kredit juga bukanlah sesuatu yang boleh dipindah milik sesuka hati berbanding wang tunai.
4. Kemudahan pembelian
Kini, semakin ramai yang menyedari kebaikan online shopping. Selain menjimatkan masa, ia juga membolehkan pengguna mendapat barang yang lebih baik dengan harga jauh lebih murah melalui laman sesawang luar negara seperti Amazon.com. Namun, kebanyakan online shop ini memerlukan pengguna untuk membuat pembayaran melalui kad kredit sahaja.
5. Faedah rendah atau tiada
Ramai di antara kita yang ingin membeli barangan mahal namun tidak mempunyai wang tunai mencukupi. Jangan bimbang, pembelian boleh dibuat terus dengan hanya leretan kad kredit. Kebanyakan kad kredit tidak mengenakan caj faedah yang tinggi, malah ada juga yang tiada faedah langsung! Namun, situasi ini bergantung kepada syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh syarikat kad kredit. Anda perlu meneliti segala syarat ini sebelum membuat pembelian.