Pasangan selebriti yang baru sahaja mendirikan rumah tangga ini bakal terbang ke Tokyo, Jepun tidak lama lagi untuk berbulan madu.
Amyra Rosli teruja untuk berkunjung ke taman tema Disneyland Tokyo November nanti kerana sudah agak lama bagi mereka tidak bercuti panjang.
“Saya teringin nak melawat taman tema keriangan Disneyland di Tokyo kerana tempat itu adalah antara destinasi yang menjadi impian dalam hidup saya selama ini. Amar tahu saya meminati tempat-tempat sebegitu kerana saya dapat melepaskan tekanan kerja yang terbeban selama ini,” kata Amyra kepada Utusan Online.
Pulang dari Tokyo nanti, pasangan ini juga bakal diraikan lagi dengan sebuah majlis yang dianjurkan oleh kelab peminat mereka di Singapura.
Amar dan Amyra juga pernah menyatakan yang mana mereka merancang untuk mempunyai empat orang anak. Namun tidak menolak jika diberikan rezeki lebih dari itu.