Ramai yang menganggap pemerah pipi adalah salah satu alat solek yang boleh kita ‘skip’ kala bersolek. Alasannya? Cukuplah sekadar mata atau bibir di solek, wajah akan tampil menyerlah.
Mungkin benar mata dan bibir anda tampak menyerlah, namun hakikatnya wajah tidak tampak segar atau ‘glowing’. Tidak percaya? Ikuti cara pemakaian pemerah pipi serta tip pemilihan pemerah pipi mengikut ton kulit anda sekarang dan lihat perbezaannya!
Ikut Ton Wajah:
Cerah
Merah jambu pucat atau merah jambu lembut sememangnya serasi bagi orang yang berkulit cerah dek kerana ronanya yang seakan kemerahan semula jadi pada buah pipi. Rona merah jambu lembut di pipi seakan sama dengan rona di dalam bibir. Rona ini menyerlahkan kulit wajah dan tampak semula jadi.
Kuning Langsat
Ton kulit ini biasa dimiliki wanita-wanita Melayu, rona kulit seperti ini sememangnya tampak warm. Jadi hanya memerlukan rona yang seakan senada dan sedikit berkilau seperti rona aprikot atau pic. Ia memberi efek kulit sihat, segar dan seksi dengan kemasan kilauan.
Sawo Matang
Rata-rata wanita Melayu juga ‘popular’ dengan ton kulit ini, rona ros atau pic jingga adalah rona yang cukup sempurna apabila dimesrakan dengan ton kulit sawo matang. Malah dengan sedikit layangan bronzer dapat menyerlahkan lagi tulang pipi dan struktur wajah. Hasilnya? Andalah wanita eksotik Asia yang paling menyerlah!
Gelap
Rona tangerin terang akan tampak semula jadi pada anda yang berkulit gelap. Pada kulit yang cerah ia akan tampak keterlaluan namun pada kulit gelap ronanya akan mesra dengan kulit dan menghasilkan satu ton keperangan yang cukup sempurna.