Jelajah media di New York, The Devil Wears Prada 2, sebuah naratif fesyen yang bergerak dari satu kota ke satu kota, dipenuhi siluet berani, tekstur mewah dan sentuhan couture yang berlapis makna.
Di tayangan perdana dunia filem sekuel popular, The Devil Wears Prada 2 di New York City, Meryl Streep, Anne Hathaway dan Emily Blunt mengemudi fesyen method dressing dengan pendekatan yang lebih berani, sungguh menjelma aura watak tersendiri.
Setiap helaian yang dipilih memberi bayangan kepada evolusi karakter masing-masing, tanpa terperangkap dalam gaya peribadi semata-mata.
Lihat gaya terbaik pelakon-pelakon The Devil Wears Prada 2

1. Anne Hathaway
Anne Hathaway mencuri tumpuan dalam helaian gaun satin merah yang menggoda, satu interpretasi ‘devilish’ yang cukup tajam dan berani. Direka oleh Nicolas Ghesquière untuk Louis Vuitton, gaun paras betis itu mengimbangi elemen klasik dan moden dengan siluet yang bersih tetapi penuh impak visual. Dipadankan bersama perhiasan mewah daripada Bulgari, cukup dramatik untuk menghidupkan semangat Runway dalam dunia nyata.

2. Lady Gaga
Dikenali dengan gaya yang sentiasa mencabar norma, Lady Gaga tampil dramatik dalam gaun hitam daripada Saint Laurent koleksi Fall 2016, sebuah helaian arkib yang sarat aura gelap dan misteri. Digayakan oleh duo adik-beradik Chloe Delgadillo dan Chenelle Delgadillo, penampilan ini diperkemas dengan sepasang anting-anting berlian 7 karat daripada Tiffany & Co. yang memancarkan kilauan mewah setiap kali melangkah.
Kemunculan Gaga bukan sekadar di karpet merah, beliau turut membuat cameo dalam The Devil Wears Prada 2, yang menurut pengarah David Frankel sebagai “rahsia paling sukar disimpan dalam dunia hiburan.” Melengkapkan lagi kehadirannya, Gaga turut menulis dan merakam lagu “Runway” bersama Doechii untuk runut bunyi sekuel ini.

3. Meryl Streep
Dilengkapi dengan cermin mata hitam ikonik yang menjadi signatur watak, beliau tampil dalam gaun berpotongan cape rekaan Sarah Burton untuk Givenchy, satu helaian merah menyapu lantai yang sarat aura drama.
Dipadankan bersama sarung tangan hitam yang elegan serta kasut tumit tinggi daripada Stuart Weitzman, keseluruhan penampilan ini terasa seperti manifestasi sempurna karakter Miranda Priestly, tegas, berpengaruh dan tidak perlu bersuara lantang untuk menguasai ruang.

4. Emily Blunt
Emily Blunt mengangkat estetika couture ke tahap yang lebih artistik dalam helaian daripada Schiaparelli koleksi Spring 2026. Gaun tersebut menampilkan bentuk berstruktur yang kemudiannya jatuh lembut ke dalam skirt tulle, mencipta kontras halus antara kekuatan bentuk dan kelembutan gerakan.
Palet tona hangat pada fabrik menyerlahkan lagi solekan bibir merah gelapnya, memberi imbangan dramatik yang cukup terkawal. Namun, perincian pada bahagian bustier menjadi fokus utama, dihiasi sekitar 25,000 helaian bulu daripada benang sutera, hasil kerja tangan yang mengambil kira-kira 4,000 jam untuk disiapkan!

5. Simone Ashley
Bintang Bridgerton, Simone Ashley membuat kemunculan sulung dalam dunia The Devil Wears Prada 2 dengan penuh keyakinan menerusi helaian vintaj daripada Prada. Gaun high-low berona chartreuse itu mencipta impak visual yang segar dan berani.
Digayakan oleh Rebecca Corbin-Murray, penampilannya diperkemas dengan perhiasan berlian yang memberi sentuhan mewah tanpa menenggelamkan karakter gaun tersebut. Dalam filem ini, Ashley memegang watak Amari Mari, pembantu pertama kepada Miranda Priestly.
Baca: The Devil Wears Prada 2, Ini Fakta Menarik Tentang Filem Sequel Ini!
