Walau sedalam mana pun rasa cinta antara anda dan pasangan, pabila soal masalah kewangan dibangkitkan, ia berupaya menggoyahkan rasa yang terbina.
Ini terutamanya buat golongan yang berpendapatan sederhana dan mereka yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Hentikan serta-merta elakkan pergaduhan dan mula menyimpan untuk masa depan. Tanya enam soalan ini dan mula ubah apa yang salah.
1. Selepas anda membeli sesuatu barangan, yang mana lebih bernilai dalam hidup anda; barang yang dibeli atau hubungan terjalin?
Dalam sesuatu perhubungan yang bahagia, kedua pasangan memiliki hak yang sama dalam bersuara mahupun memiliki sesuatu. Walaupun anda mampu untuk memiliki sesuatu dan mempunyai sumber kewangan yang lebih banyak daripada pasangan, anda tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pembelian tanpa ada perbincangan lanjut bersama mereka. Anda akan hidup bersama mereka sehingga akhir usia, justeru segala hal termasuk soal perbelanjaan harian perlu dibincangkan bersama.
2. Adakah anda benar-benar perlu membelinya?
Tanya kepada diri sendiri soalan ini setiap kali ingin membuat pembelian. Adakah ia memudahkan urusan seharian anda? Adakah pembelian ini berdasarkan kehendak ataupun keperluan? Bergunakah ia kepada kalian berdua? Bolehkah anda mendapatkan barang yang sama dengan harga jauh lebih murah di tempat lain?
3. Adakah anda boros?
Jadi jujur. Kerana ketahuilah sikap boros boleh menyusahkan pasangan. Bagi sesetengah wanita, berbelanja membuatkan mereka rasa bahagia dan gembira. Walhal, wang yang digunakan untuk kepuasan hati anda itu lebih baik disimpan bagi kemudahan masa depan. Jika anda seorang yang boros, belajar untuk mengurangkan perbelanjaan dan menahan nafsu.
4. Anda rasa marah apabila pasangan mengatakan anda berbelanja melebihi keperluan?
Jangan mudah melatah dengan tuduhan daripada pasangan. Dengar dan faham apa yang cuba disampaikan. Api jika bertemu api akan menyebabkan kemarahan semakin marak. Duduk dan bawa bukti resit bagi menjernihkan kembali hal kewangan anda berdua. Jangan sesekali menuding jari kembali kepada pasangan dan membentak dengan perihal perbelanjaannya. Lebih baik bercakap secara baik.
5. Adakah anda telah mula lakukan perubahan dalam rancangan kewangan?
Bukan mudah untuk melakukan perubahan dengan mengurangkan perbelanjaan harian dan menghentikan pertengkaran mengenai kewangan. Mungkin anda boleh membeli barangan kering seperti sabun basuh dari jenama yang murah, dan peruntukan selebihnya untuk membeli barangan dapur yang segar dan berkhasiat. Elakkan menambah koleksi fesyen dengan aksesori yang sudah bertimbun dalam almari. Jadi lebih bertanggungjawab dengan menjaga barang dengan baik agar ia boleh dipakai dalam jangka masa yang lama.
6. Adakah anda berdua bekerjasama untuk menghentikan pertengkaran mengenai wang?
Perhubungan antara manusia seperti yang diketahui melibatkan komunikasi dan komitmen antara dua hala. Tidak kira sama ada dalam perihal menetapkan matlamat atau menganalisis bajet, jangan sesekali bebankan pasangan dengan terlalu banyak tanggungjawab atau tidak langsung memberinya peluang untuk menggalasnya. Penting untuk anda berkongsi susah dan senang hal kewangan ini.