It’s a boy! Pasangan bintang popular Bollywood, Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor selamat menimang cahaya mata pertama mereka dan diberi nama Taimur Ali Khan Pataudi.
Kareena selamat melahirkan bayi sulungnya itu hari ini di Hospital Breach Candy India. Berita berkenaan disahkan sendiri ayah Kareena yang juga seorang aktor, Randhir Kapoor.
“Kami sangat gembira. Bayi dan Kareena kedua-duanya dalam keadaan baik. Kami semua sangat teruja,” katanya.
Menurut sumber terdekat, kesemua ahli keluarga Khan dan Kapoor berada ketika Kareena dihantar ke bilik bersalin. Dalam satu kenyataan dari Saif dan Kareena, mereka menamakan anak lelakinya itu dengan Taimur Ali Khan Pataudi.
“Kami berbesar hati ingin berkongsi berita gembira kepada umum akan kelahiran anak lelaki kami , Taimur Ali Khan Pataudi pada 20 Disember 2016. Kami juga ingin berterima kasih kepada media yang sentiasa memahami dan sokongan yang diberikan sepanjang 9 bulan kehamilan dan tidak lupa kepada peminat-peminat kami serta ucapan yang baik dari mereka kerana terus menyalurkan kasih sayang. Selamat menyambut hari Natal dan selamat tahun baru untuk semua. With love, Saif & Kareena,” dalam kenyataan tersebut.
Taimur merupakan anak sulung bagi pasangan Bollywood ini. Saif sebelum ini sudah mempunyai dua orang anak iaitu Sara dan Ibrahim, hasil dari perkahwinan pertamanya bersama Amrita Singh.
Sebelum ini, Saif turut pernah berkata “Saya rasa ia satu ekspresi yang indah akan hubungan saya dengan Kareena. Mempunyai seorang anak sekarang mampu menyempurnakan lagi ikatan kami. Ia seakan sesuatu pabila mempunyai seorang anak yang mana sebahagian diri saya dan sebahagian diri Kareena, jadi ia adalah satu perasaan yang menakjubkan.”
Kareena dan Saif sebelum ini dikatakan pernah merancang untuk menamakan anaknya Saifeena. Khabar angin tersebut bertebaran pabila Kareena pernah menyatakan dalam mesej ringkas di sebuah program,”Dia (Saif) rasakan yang ia suatu yang kelakar. Dia kata yang kami akan namakan anak kami Saifeena.”
Sepanjang kehamilan, Kareena melaluinya dengan penuh positif dan turut menjadi inspirasi kepada ramai bakal ibu. Aktres ini pada masa kehamilan turut menjaga komitmentnya. Biarpun sarat hamil pada ketika itu, dia sempat menjadi muka depan untuk beberapa buah majalah, berjalan di pentas peragaan, melakukan sesi penggambaran dan banyak lagi kerjanya sebagai seorang selebriti. Boleh dikatakan yang Kareena merupakan seorang aktres yang tidak kenal erti putus asa dan sentiasa menjaga kariernya dengan baik.
Disebabkan kerja kerasnya meskipun sedang hamil, Saif turut terpaksa meminta isterinya untuk memperlahankan kerja-kerjanya supaya keadaannya sentiasa sihat dan cukup rehat.
Gambar : Sumber Google