Pastinya semua orang pernah melalui detik-detik lidah menjadi kelu, dan tidak tahu apa mahu dibualkan pabila bertemu dengan orang yang pertama kali bertemu.
Misalnya pabila pergi ke majlis dan anda duduk sebelah dengan orang yang tidak dikenali, hendak atau tidak anda perlu menyapa dan memperkenalkan diri. Pabila ke majlis, usah memencil diri atau jadi kera sumbang. Didik diri jadi orang yang bijak membawa diri, boleh dibawa ke tengah dan ke tepi.
Perkenalkan Diri
Biarpun anda rasa anda popular dan dikenali, anda mesti salam dan perkenalkan diri pada orang yang pertama kali anda temui. Cara ini membuatkan orang senang dan punya tanggapan bahawa anda seorang yang merendah diri. Dan tentukan anda iringi sesi bersalaman dengan senyuman.
Elak Topik Sensitif
Seeloknya elakkan perbualan yang bisa menyentuh sensitiviti seperti agama, fahaman politik mahupun apa sahaja yang berbaur peribadi. Perkara ini berisiko menyinggung perasaan dan mungkin juga menyebabkan perbalahan.
Positif Sahaja
Sebaik-baiknya anda bualkan tentang perkara yang elok-elok sahaja. Usah merungut, mengata atau mengkritik, bimbang jika yang dikritik atau diumpat punya hubungan rapat dengan kenalan baru ini. Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Hormat
Jika kita mahu orang menghormati kita, kita perlu menghormati orang. Mudah sahaja. Dan sebagai manusia hormat-menghormati itulah kata kunci. Apatah lagi bagi yang kali pertama bertemu, rasa hormat membuatkan orang menyenangi kita.
Gerak Tubuh & Ekspresi
Dua perkara ini penting kerana ia bisa menterjemahkan 1001 perkara. Gerak tubuh, ekspresi wajah termasuk cara anda memandang kenalan baru juga memainkan peranan penting, kesemuanya perlu memberi reaksi yang positif, yakni anda senang berbual dengan kenalan baru anda itu.
Sopan Santun
Ya, sikap dan cara anda berinteraksi perlu ada sopan santun. Apa yang kita lakukan pada pertemuan pertama akan jadi rekod penting dalam sejarah perkenalan anda dan orang lain. Ini adalah first impression, jadi tunjukkan sikap anda yang terbaik.
Jenaka
Adalah satu bonus jika anda bijak membuat orang tertawa. Dan kita perlu akui bahawa kita sendiri menyenangi orang bijak membuat kita ketawa. Jadi, seeloknya asah skil melawak atau bergurau supaya sesi perbualan menjadi lebih menarik. Namun hati-hati usah berlebih-lebihan kerana gurau senda ada kalanya membuatkan orang jelik dan menyampah. Jadi, bersederhanalah!
Jadi Diri Sendiri
Yakin dengan diri sendiri. Nilai diri itu perlu ditunjukkan. Usah jadi orang lain. Jika anda selesa berbahasa Melayu dan tidak fasih berbahasa Inggeris, berbual sahaja dalam bahasa Melayu. Tidak perlu malu, kerana orang yang baik adalah orang yang menerima orang lain seadanya.