Bintang Real Madrid ini sememangnya seorang bapa tunggal yang menjadi kebanggaan ramai. Kali ini, Cristiano Ronaldo dikatakan bakal menimang cahaya mata sekali lagi dengan kelahiran anak kembar.
Pemain bola sepak berdarah Portugis ini sering dikaitkan dengan beberapa orang wanita tercantik di dunia, tetapi tidak pula dilihat merancang untuk berkahwin meskipun sudah mempunyai seorang anak menerusi ibu tumpang, iaitu Cristiano Junior.
“Cristiano dan keluarga tidak sabar menanti kelahiran anggota baru mereka. Dia sentiasa merahsiakan kehidupan peribadinya, tetapi dia sudah memberitahu kepada orang-orang yang rapat dengannya mengenai bakal anak kembarnya itu. Kembar tersebut dikatakan kedua-duanya berjantina lelaki dan dikhabarkan akan lahir tidak lama lagi,” menurut sumber.
Namun, identiti ibu tumpang kepada bayi kembar yang dikatakan berasal dari Amerika Syarikat itu juga turut dirahsiakan. Ronaldo bahkan merancang untuk menerbangkan anak kembarnya itu ke Sepanyol selepas mereka lahir nanti.
Anak pertama Ronaldo, Cristiano Junior dilahirkan pada 17 Jun 2010 di Amerika Syarikat dan kemudian telah dibawa ke Madrid oleh Dolores untuk memulakan hidup di Sepanyol bersama bapanya.
Ronaldo Senior mempunyai hak penjagaan anak sepenuhnya terhadap Cristianinho dan ada laporan menyatakan bahawa ibu kepada Cristianinho telah pun dibayar sebanyak £10juta untuk menutup mulut.
“Pabila Cristiano besar, saya pasti akan memberitahunya akan perihal sebenar tentang asal usulnya kerana dia berhak untuk tahu, kerana dia anak saya tetapi saya tidak akan memberitahunya hanya kerana orang ramai mahu saya memberitahunya,” ujar Ronaldo.
Dalam masa yang sama menanti kelahiran bayi kembar itu, bekas bintang Manchester United itu turut kini dikhabarkan sedang berhubungan dengan seorang model yang bernama Georgina Rodriguez.