Brad Pitt yang kini berada di ambang kesedihan berikutan perpecahan keluarga besarnya bersama Angelina Jolie mengaku yang dirinya mahu berhenti dari menjadi seorang kaki botol serta berubah menjadi seorang yang lebih baik.
Menerusi portal GQ, Pitt membuat pengakuan yang mana dia mahu berhenti dari mengambil sebarang minuman alkohol gara-gara masalah itu yang mendorong ke arah penceraiannya sebelum ini.
“Saya tidak mahu hidup seperti itu lagi,” katanya ringkas.
Demi menggantikan ketagihannya terhadap alkohol, Pitt kini mengambil jus cranberi dan minuman berkarbonat. Akuinya yang kini dia bersih sepenuhnya dari sebarang alkohol.
Dalam masa yang sama, Pitt turut membayangkan yang mana kehidupannya sekarang ini sangat menyedihkan. Jelasnya sebelum ini kediamannya di Los Angeles agak meriah dengan adanya keluarga, tetapi kini rumah agam itu terlalu sunyi.
Dia turut mengaku yang dirinya boleh melakukan sesuatu yang buruk jika dia tidak keluar dari kediamannya dan berseorangan.
“Sebelum ini rumah ini agak meriah, setiap pelusuk rumah mempunyai hiruk pikuk, tetapi kini ia agak sunyi. Jika saya tidak mereka sesuatu atau melakukan sesuatu aktiviti, berkemungkinan saya akan melakukan senario yang agak merbahayakan. Jadi disebabkan itu, saya sering pergi ke studio sculpting milik kawan saya dan menghabiskan banyak masa di situ. Sahabat saya (Thomas Houseago) merupakan seorang sculptor profesional,” jelasnya.
Pitt memberitahu yang kini dia sedang mensasarkan untuk mereka cipta satu ukiran tanah liat. Baginya ia satu pekerjaan yang sepi. Namun, ia menghasilkan bunyian yang dirinya merasakan ia adalah satu kehidupan yang perlu diteruskan.
Bekas suami kepada Angelina Jolie ini turut dirakam dalam satu penggambaran yang sungguh menakjubkan di sekitar taman negara di Amerika Syarikat. Jelas terpancar menerusi gambar-gambar tersebut akan sisi lain pada diri Pitt yang pada masa sama menonjolkan perasaannya ketika di ambang keruntuhan rumah tangga.
EH! kongsikan sedikit gambar terbaik Brad Pitt bersama portal antarabangsa itu.