Priyanka Chopra dan Shah Rukh Khan pernah digandingkan bersama di dalam filem Don dan pada ketika itu, khabar angin tentang mereka mempunyai hubungan cinta menjadi perbualan hangat.
Pernah terdengar menerusi media dari India yang mana Shah Rukh Khan dan Priyanka pernah secara senyap-senyap mempunyai hubungan cinta ketika bergandingan di dalam filem Don dan hubungan itu terputus pabila isteri kepada aktor terkenal dunia itu, Gauri Khan mendapat tahu akan berita tersebut.
Baru-baru ini menerusi program Dirty Laundry, Priyanka seakan terlepas kata tentang hubungannya dengan Shah Rukh Khan sebelum ini. Priyanka dan Shah Rukh Khan tidak pernah bercakap soal tersebut, tetapi sekarang ini aktres siri tv Quantico itu seakan memberi petunjuk siapakah bekas kekasihnya.
Priyanka mendedahkan yang mana dia masih lagi menggunakan jaket berwarna coklat milik bekas kekasihnya sehingga kini. Spekulasi mula melonjak naik mengatakan bahawa jaket tersebut adalah milik Shah Rukh Khan dek kerana dia pernah dilihat memakai jaket yang sama seperti mana yang Priyanka dedahkan.
Menerusi program bual bicara Dirty Laundry, Priyanka mengatakan “Semua benda boleh ditukar. Tetapi saya amat menyayangi jaket ini kerana ia seakan sudah menjadi milik saya. Ia tidak lagi menjadi milik dia (bekas kekasih) selepas ia berada di rumah saya pada ketika dahulu dan saya seperti suka memakainya.”
Pabila ditanya adakah bekas kekasihnya meminta semula jaket tersebut, Priyanka menjawab, “Dia ada bertanya pada saya dan saya katakan tidak boleh. Itu yang selalunya berlaku dalam sesebuah perhubungan. Maaf! Saya tidak langsung memikirkan perkara itu.”
Walaubagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada Priyanka dan Shah Rukh Khan pernah mempunyai hubungan dalam diam sebelum ini atau pun ia hanyalah hubungan percintaan di dalam set penggambaran yang terbawa-bawa sehingga ke dunia nyata.