Saharul Ridzwan dan isterinya, Qaabila Deena Emir selamat menimang cahaya mata pertama mereka semalam.
Isteri kepada aktor popular ini selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.8 kilogram pada jam 3.49 petang semalam. Berita itu dikongsikan sendiri oleh pasangan ini menerusi laman Instagram masing-masing.
Menerusi akaun Instagram Saharul, dia memuat naik sekeping gambar dirinya yang sedang menggendong zuriat pertamanya itu sambil mengucup dahi isterinya dengan kapsyen manis mengucapkan terima kasih buat isterinya yang bertarung nyawa dalam melahirkan anak pertama mereka itu. Pelakon terkenal ini turut berharap yang anaknya itu akan menjadi anak yang soleh pabila dewasa kelak.
Isterinya, Deena turut sempat memuat naik sekeping gambar yang bertulis kalimah ‘Alhamdulillah’ serta kapsyen yang menjelaskan dirinya sudah pun selamat melahirkan bayi lelakinya semalam secara normal. Namun, pasangan ini masih belum lagi berkongsi nama anak pertama mereka itu.
Saharul dan Deena yang merupakan usahawan butik secara atas talian berkahwin pada 16 September 2016 di Putrajaya. EH! ucapkan tahniah buat Saharul dan isteri. Semoga kelahiran zuriat ini membawa lebih kebahagiaan dalam rumah tangga.